
PATTANI:Tentera Thai memperhebatkan usaha memburu suspek dipercayai terlibat dalam serangan hendap di daerah Nongchik seminggu lepas yang mengorbankan 2 anggota tentera.
Empat anggota tentera turut cedera dalam kejadian di Kampung Ban Tan, Mukim Ban Khao di daerah Nongchik pada 10 malam (waktu tempatan) ketika mereka sedang melakukan rondaan bermotosikal.
“Siasatan menunjukkan serangan hendap dilakukan oleh kumpulan diketuai Maulana Samoh. Terdapat juga kumpulan yang melarikan suspek dan kumpulan membawa masuk senjata untuk digunakan pada hari kejadian,” kata ketua tentera wilayah Pattani Mej Jen Jatuporn Kalampasut di sini.
Setakat ini, pihak tentera Thai telah menahan 8 individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Menurut Jatuporn, kira-kira 1,000 anggota tentera dikerah ke beberapa lokasi di wilayah Pattani dan Songkla dalam usaha mengesan suspek dipercayai terlibat dalam insiden serangan terbabit.
Kawasan pemburuan termasuk di bandar Pattani, daerah Nongchik dan Mae-lan di wilayah Pattani, manakala daerah Thepa dan Sabayoi pula terletak di wilayah Songkla.
Sementara itu Ketua Tentera Bahagian ke-4 Lt Jen Piyawat Nakwanich pula berkata, arahan telah dikeluarkan menghendaki setiap penduduk Mukim Ban Khao dan Mukim Thakamcham di Pattani supaya melaporkan diri kepada pihak berkuasa.
Penduduk yang memiliki pistol, motosikal, kereta dan perahu dikehendaki mendaftar dengan pihak berkuasa, katanya dan menambah, kawalan terhadap laluan keluar masuk ke kedua-dua mukim itu diperketatkan.
Katanya, ibu bapa dan isteri kepada suspek yang tidak memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa akan dikenakan tindakan.