MB: Anwar akan bawa tuah kepada PD dan Negeri Sembilan

MB: Anwar akan bawa tuah kepada PD dan Negeri Sembilan

Selain kawasan berkenaan, tempias kemajuan yang dicapai Port Dickson turut memberi nilai tambah kepada keadaan ekonomi dan sosial negeri.

Aminuddin berkata, rakyat perlu memberi mandat kepada Anwar untuk mewakili kawasan berkenaan memandangkan beliau bakal menjadi perdana menteri kelapan. (Gambar Bernama)
PORT DICKSON:
Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada pilihan raya kecil (PRK) akan datang mampu membawa pembangunan yang lebih pesat di kawasan itu, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Aminuddin, yang juga pengerusi PKR dan Pakatan Harapan negeri berkata selain kawasan berkenaan, tempias kemajuan yang dicapai Port Dickson turut memberi nilai tambah kepada keadaan ekonomi dan sosial negeri.

Menurutnya, disebabkan itu, rakyat perlu memberikan mandatkepada Anwar, yang telah diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk mewakili kawasan berkenaan memandangkan beliau bakal diangkat menjadi perdana menteri kelapan.

“Di samping itu juga, apabila Datuk Seri Anwar diangkat menjadi perdana menteri, kita yakin banyak kemudahan serta infrastruktur akan dibawa dan kita mengharapkan Negeri Sembilan dapat dibangunkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi 3 keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Sungai Raya, di sini.

Setakat ini, jumlah mangsa banjir sejak 2 hari lalu masih kekal 15 orang iaitu 10 dewasa, 4 kanak-kanak dan seorang bayi.

Mereka dijangka pulang selepas keadaan cuaca baik dan kerja pembersihan kediaman yang dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri selesai dilaksanakan hari ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Turut menyertai Aminuddin pada lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Mohamad Hapil dan Pegawai Daerah Port Dickson Khairy Maamor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.