
Bekas perdana menteri itu sebaliknya berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bertanggungjawab terhadap kadar pembayaran balik rendah kerana hasutan gabungan itu yang menggalakkan peminjam tidak membayar balik pinjaman dan janji manis PH untuk semua hutang PTPTN dimansuhkan, jika mereka menjadi kerajaan.
Sabtu lalu, Dr Mahathir dilaporkan menegur sikap orang Melayu yang kurang beramanah, tidak bertanggungjawab dengan apa yang diamanahkan kepada mereka dan mudah mungkir janji.
“Jika kita hutang, berat bagi kita membayar balik. Demikian PTPTN, bukan banyak yang kita diminta bayar balik, sedikit saja.
“Kita mampu, kalaupun gaji kita hanya RM2,000 sebulan apalah sangat RM100 sebulan…hanya 5%, tetapi yang dapat lebih dari itu pun tidak bayar, lokek.
“Walau apapun alasan yang diberi, hakikatnya kita tidak bayar hutang. Bagi kita ini perkara kecil tetapi bagi bangsa kita, ia memburukkan kepercayaan kepada kita.”
Najib berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir yang orang Melayu patut bekerja kuat sweperti kaum lain dan tahu tanggungjawab masing-masing.
Tetapi katanya, dalam isu PTPTN, selain Melayu, ramai peminjam kaum lain tidak membayar pinjaman kerana termakan hasutan PH.
“Hakikatnya, Pakatan yang merosakkan PTPTN dan mereka tidak patut menggunakan isu ini sebagai alasan untuk menyalahkan satu kaum sahaja.
“Keadaan yang sama berlaku dengan saman AES, di mana Pakatan dengan janji-janji manis mereka juga telah mengalakkan orang ramai untuk tidak membayar.”
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, PH perlu bertanggungjawab terhadap tindakan ramai peminjam tidak mahu membayar balik pinjaman PTPTN.
“Oleh kerana Pakatan tidak akan memansuhkan hutang PTPTN seperti dijanjikan sebelum ini, saya menyeru semua peminjam tak kira bangsa, termasuk orang Melayu untuk menunaikan tanggungjawab mereka membayar balik pinjaman mengikut kemampuan masing-masing agar lebih ramai lagi pelajar boleh mendapat bantuan PTPTN pada masa depan.”