
Maszlee yang kini melawat Sarawak selama 3 hari berkata beliau mengarahkan pegawainya membenarkan kumpulan pelajar tersebut, yang mengadakan bantahan di bangunan Kementerian Pendidikan sejak malam tadi, menyampaikan pendirian mereka dengan aman.
“Saya mengarahkan mereka dilayan dengan baik, termasuk diberi makanan, air dan keperluan asas lain.
“Saya juga memberitahu penasihat saya, Wan Saiful Wan Jan, supaya bertemu mereka petang ini,” kata Maszlee dalam satu kenyataan hari ini. “Saya juga telah mengarahkan supaya dijadualkan satu slot masa untuk saya bertemu mereka Rabu depan.”
Kumpulan pelajar itu menuntut Maszlee meletakkan jawatan sebagai presiden UIAM kerana menolak pengaruh politik dalam universiti awam.
Maszlee berkata, beliau pada mulanya diberitahu kumpulan itu terdiri daripada pelajar, tetapi maklumat selepas itu menunjukkan ia turut melibatkan beberapa aktivis NGO.
Katanya kumpulan itu dilayan baik sepanjang tempoh bantahan dan aduan mereka dicatat oleh pegawai beliau.
Bagaimanapun kata Maszlee, walaupun beliau memberi jaminan untuk bertemu kumpulan itu secepat mungkin, mereka berkeras mahu terus berada di bangunan kementerian sehingga beliau meletak jawatan sebagai presiden UIAM.
“Mereka meninggalkan pekarangan kementerian pada jam 11 malam dan berkumpul di pintu masuk utama Parcel E, yang menempatkan beberapa kementerian,” katanya.
“Pada jam 11.30 malam, seorang pegawai cuba memujuk mereka supaya bersurai atau kembali ke pekarangan kementerian di mana saya benarkan mereka berkumpul secara aman. Bagaimanapun mereka menolak kedua-dua pilihan itu.”
Katanya kumpulan itu diberitahu supaya tidak berkumpul di pintu masuk berkenaan atas sebab keselamatan dan pada jam 2 pagi pihak polis membuat keputusan menamatkan bantahan tersebut.
“Saya difahamkan majoriti mereka bersetuju bersurai kecuali 2 orang. Mereka disoal siasat oleh pihak berkuasa.
“Bagaimanapun pegawai saya mengadakan perbincangan dengan polis di Putrajaya sehingga jam 7 pagi meminta mereka dilepaskan. Mereka dibebaskan dengan ikat jamin pagi tadi.”