Parti baharu untuk kaum India tunggu kelulusan JPPM

Parti baharu untuk kaum India tunggu kelulusan JPPM

Senator P Waythamoorthy menubuhkan parti politik baharu untuk kaum India yang dikenali sebagai Malaysian Advancement Party.

KUALA LUMPUR:
Sebuah parti politik baharu untuk kaum India dikenali Malaysian Advancement Party (MAP) kini dalam proses penubuhan dan sedang menunggu kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Pengerusi penaja Senator P Waythamoorthy berkata permohonan untuk penubuhan parti politik baharu itu dimajukan kepada JPPM oleh jawatankuasa penaja MAP 2 minggu lalu.

“Objektif utama parti ialah melindungi, mempromosi dan membawa kepentingan kaum India di Malaysia dalam politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, agama dan sosial.

“Menerusi kelahiran parti politik baharu ini, wujud harapan dan peluang baharu bagi kaum India di negara ini dalam memastikan suara mereka diwakili dengan lebih berkesan agar tiada yang terpinggir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Waytha Moorthy berkata kaum India akan berpeluang untuk menikmati kemajuan dan pembangunan yang dikecapi negara dengan lebih menyeluruh.

“Ia akan mengusahakan pemerkasaan dan penambahbaikan kaum India seiring Perlembagaan Persekutuan dalam meningkatkan kedudukan sosioekonomi serta menggalakkan perpaduan di negara ini,” katanya.

Waytha Moorthy berkata parti itu juga akan bekerja dan menyertai semua parti komponen Pakatan Harapan untuk meningkatkan agenda pembaharuan bawah “Malaysia Baharu”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.