
Sebelum kewujudan media sosial seperti Facebook dan Blog, masyarakat mendapat berita terutama berita mengenai politik negara daripada akhbar-akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Watan dan sebagainya. Selain itu, orang ramai juga mendapat berita daripada akhbar-akhbar nyamuk dan akhbar-akhbar milik parti pembangkang seperti Harakah milik PAS.
Selain daripada akhbar, untuk mendapatkan cerita-cerita eksklusif mengenai parti politik atau ahli politik tertentu, orang ramai juga akan membaca buku-buku politik. Buku-buku politik yang ditulis ini biasanya akan memaparkan cerita-cerita eksklusif mengenai dunia politik yang akhbar-akhbar tidak terbitkan atau tidak diketahui oleh orang ramai. Cerita eksklusif mengenai politik tu merangkumi pelbagai perkara antaranya skandal-skandal yang ahli politik atau menteri lakukan.
Buku-buku politik ini tidaklah diterbitkan dengan kerap. Buku politik hanya diterbitkan setahun sekali sahaja. Jika terdapat banyak isu politik yang panas, barulah buku politik diterbitkan 2 atau 3 kali dalam setahun. Hal ini kerana, bukan mudah mahu menjadi penulis buku politik. Selain perlu mendapatkan banyak maklumat yang tepat, seorang penulis buku politik juga mesti sanggup menghadapi pihak polis dan mahkamah. Tambahan pula, mahu menerbitkan buku politik bukanlah mudah. Penulis buku politik perlu mengeluarkan modal sendiri. Tiada penerbit yang sanggup mahu menerbitkan buku politik yang mendedahkan skandal dan penyelewengan ahli politik atau menteri tertentu. Hanya penerbit yang ‘berani mati’ sahaja yang sanggup menerbitkannya!
Dahulu, tidak ramai orang sanggup menjadi penulis buku politik. Sekarang semua orang boleh menjadi penulis politik. Cukup sekadar menggunakan Facebook dan Blog sahaja, segala skandal menteri, ahli politik dan pemimpin tertentu boleh didedahkan.
Sebenarnya ada banyak sebab mengapa buku politik diterbitkan.
Pertama, kerana ingin mendedahkan skandal atau penyelewengan yang menteri atau ahli politik lakukan. Kedua, mahu jatuhkan menteri atau ahli politik tertentu. Ketiga, mahu menangkan parti politik yang diwakili. Bagi sebab yang ketiga ini, ada penulis buku politik tertentu yang memang menjadi ahli sesuatu parti politik seperti PAS misalnya. Justeru, dia menulis sebuah buku politik yang mengkritik pemimpin UMNO kerana mahu orang ramai menyokong parti PAS dan menolak UMNO dalam pilihan raya.
Negara kita ini ada ramai sebenarnya penulis buku politik tetapi bukan semua boleh menjadi terkenal. Dalam artikel ni, kami hanya senaraikan beberapa orang penulis sahaja yang buku-buku politiknya memang memberi impak kepada negara ni. Bagaimanapun, bukan semua penulis buku politik dalam senarai ini menulis buku politik lagi. Ramai yang sudah berhenti kerana orang lebih suka membaca media sosial yang lebih pantas capaian maklumatnya daripada buku politik.
Di bawah ini kami senaraikan penulis buku politik yang paling berpengaruh di Malaysia.
Subky Latif
Subky Latif boleh dikatakan sebagai orang pertama yang menulis buku politik di Malaysia. Beliau pernah bekerja sebagai wartawan di akhbar Utusan Melayu. Beliau juga pernah menjadi Pengarang akhbar Suara Rakyat dan Suara Merdeka tetapi kedua-dua akhbar itu sudah diharamkan. Beliau merupakan antara pengasas dan Pengarang pertama akhbar Harakah milik PAS. Buku politik beliau yang paling terkenal ialah Siapa Ganti Asri (1977) yang menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai orang yang paling layak menggantikan Datuk Asri Muda sebagai Yang Di-Pertua PAS. Buku beliau yang pernah diharamkan ialah buku PAS Masuk Lubuk Merbau (1985). Sekarang beliau tidak menulis buku politik lagi. Beliau hanya menulis di akhbar Harakah dan HarakahDaily sahaja tetapi masih berkisar politik. Buku politik beliau yang pertama adalah Siapa Selepas Tun Razak yang terbit pada tahun 1975.
Syed Hussein Al-Attas
Syed Hussein Al-Attas atau nama mesranya Pak Habib ini merupakan penulis buku politik yang paling terkenal. Beliau ialah Presiden Kelab Penulis Politik Semasa Malaysia (tidak diketahui sama ada masih wujud atau tidak). Buku politik beliau yang paling kontroversi ialah Challengger : Siapa Lawan Siapa (1987). Buku ini menjadi terkenal kerana menyebabkan Tun Musa Hitam gagal mempertahankan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO. Kemudian Tun Musa menyaman beliau di mahkamah dan beliau dikehendaki membayar RM100,000. Buku politik beliau yang pernah diharamkan ialah Talqin Untuk UMNO (1988).
Mohd Sayuti Omar
Mohd Sayuti Omar atau MSO ini juga antara penulis buku politik yang terkenal di Malaysia dan sehingga sekarang beliau masih menulis buku politik lagi. Beliau merupakan pemilik akhbar Siasah tapi sekarang sudah tidak lagi. Beliau dilihat sebagai penulis yang pro kepada PAS dan sekarang Pakatan Harapan. Antara buku politik beliau yang terkenal ialah Sumpah dan Air Mata Reformis Bangsa (1998) yang menceritakan tragedi pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 dulu. Beliau juga sekarang ini seorang blogger yang terkenal. Nama blog beliau ialah Merah Tinta MSO. Antara buku politik beliau yang kontroversi ialah Anwar Ibrahim : Mimpi dan Realiti (1990) dan Inside Story Kejatuhan PAS Kedah (2014).
Yahaya Ismail
Yahaya Ismail atau Pak Ya antara penulis buku politik paling berbisa. Beliau merupakan seorang penulis yang tidak pernah berkompromi dengan pemimpin yang dikritiknya. Buku politik beliau yang paling terkenal ialah Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin (2009) kerana beliau didakwa cuba mengugut Khairy Jamaludin menggunakan buku tersebut sehingga Khairy membuat laporan polis. Beliau pernah direman dengan polis dalam tahun 2016 dahulu kerana didakwa menghina Datuk Seri Najib. Antara buku politik lain yang beliau tulis sehingga menjadi terkenal ialah Anwar Ibrahim : Antara Nawaitu dan Pesta Boria (1993) dan Mengapa Mahathir Dicabar (1987).
Ahmad Lutfi Othman
Lutfi sebenarnya lebih sesuai menjadi wartawan politik daripada menjadi penulis buku politik tetapi dikhabarkan buku politik beliau banyak juga yang terkenal. Buku politik beliau seperti Anwar Lawan Ghaffar (1993), Pas Zaman Anwar : Memo Buat Bakal PM (1993), Mufti Lawan Mahathir (1997) dan sebagainya memang selalu laris di pasaran. Sekarang ini beliau sakit dan semakin kurang menulis buku politik. Beliau banyak menerbitkan majalah politik seperti Tamadun, Detik, Wasilah, dan sebagainya tetapi semua diganggu oleh Kementerian Dalam Negeri. Dahulu, beliau pernah menjadi Ketua Pengarang Harakah dan sekarang bekerja dengan akhbar Malaysia Dateline milik Amanah. Beliau masih lagi menulis mengenai politik cuma dalam kolum beliau sahaja di portal Malaysia Dateline.
Sebenarnya ada ramai lagi penulis buku politik seperti Tarmizi Mohd Jam, Daud Ibrahim, Musli Oli, dan Shahbudin Husin cuma impak buku mereka pada rakyat Malaysia tidak berapa menyerlah berbanding penulis-penulis yang dinyatakan tadi. Walaupun sudah ada media baru, jasa mereka kepada Malaysia ini janganlah dilupakan. Mereka sudah banyak berjasa kepada rakyat Malaysia dengan mendedahkan berita berita gempar yang disembunyikan oleh akhbar arus perdana pada waktu itu. Tanpa mereka, pasti ‘cerita cerita pelik’ pemimpin dan ahli politik di dalam negara ini kita tidak diketahui. Kini perjuangan mereka diteruskan oleh penulis di Facebook dan Blog.
Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapej