Lantikan Maszlee sebagai presiden UIA perlu dikaji semula, kata timbalan menteri

Lantikan Maszlee sebagai presiden UIA perlu dikaji semula, kata timbalan menteri

Langkah itu perlu diambil supaya pelantikan selaras dengan semangat membebaskan instiusi pendidikan daripada pengaruh politik dan memberikan kuasa autonomi kepada universiti.

Sivarasa berkata, kesilapan dalam kalangan pemimpin boleh berlaku, termasuk Dr Mahathir sewaktu mengumumkan perlantikan dirinya sebagai menteri pendidikan sebelum ini.
SHAH ALAM:
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah menggesa keputusan melantik Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dikaji semula.

Sivarasa berkata, langkah itu perlu dilakukan supaya ia selaras dengan semangat membebaskan instiusi pendidikan termasuk UIA daripada pengaruh politik dan memberikan kuasa autonomi kepada universiti untuk mentadbir.

“Saya juga terkejut dengar pengumuman itu dan saya rasa adalah wajar keputusan melantik Maszlee dikaji semula supaya ia selaras dengan semangat yang disebut dalam manifesto kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis ceramah Pakatan Harapan (PH) di Glenmarie, Shah Alam, malam tadi.

Pada 7 Jun lalu, Maszlee memberi jaminan kepada pentadbiran universiti bahawa institusi itu tidak akan disalah gunakan oleh sesiapa, termasuk dirinya demi kepentingan politik.

“Ini adalah era baru, saya akan memastikan kerajaan PH tidak akan salah gunakan universiti untuk kepentingan politik, ia termasuk saya,” katanya.

Sivarasa berkata, tidak dinafikan kesilapan dalam kalangan pemimpin boleh berlaku, termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu mengumumkan perlantikan dirinya sebagai menteri pendidikan sebelum ini.

“Walaupun kita kadang-kadang buat silap, tetapi ia boleh dibetulkan, macam perdana menteri sendiri sebagai contoh, sebelum ini dia umumkan akan ambil portfolio perdana menteri bersama menteri pendidikan.

“Tetapi apabila beberapa orang sudah tunjukkan kepada beliau (Dr Mahathir) bahawa itu bercanggah dengan manifesto, maka perdana menteri buat keputusan untuk berundur,” katanya.

Terdahulu, Adun Bukit Tunku, Lim Yi Wei turut menggesa Maszlee melepaskan jawatannya sebagai presiden UIAM yang baru.

Yi Wei yang juga pengerusi Pemuda DAP Petaling Jaya Utara berkata, sebagai ahli politik yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam Kementerian Pendidikan, memegang jawatan tertinggi di sebuah universiti jelas akan mewujudkan konflik kepentingan.

UIA dalam kenyataannya bagaimanapun mempertahankan lantikan Maszlee sebagai presiden baru mereka, mengatakan pelantikan itu dipersetujui oleh ketua perlembagaannya, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Bukan itu sahaja, UIA juga menambah pelantikan Maszlee juga disokong oleh Rektor universiti berkenaan, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Maszlee dilantik menggantikan Tan Sri Rais Yatim sebagai presiden ke-8 UIA. Kerusi itu kosong sejak tempoh perkhidmatan 5 tahun Rais tamat pada Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.