
Ia menjadi undang-undang selepas semua wakil rakyat sebulat suara menyokong rang undang-undang Enakmen Keluarga Islam (Selangor) (Pindaan) 2018 dan Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) (Pindaan) 2018.
“Sultan Selangor telah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk mengkaji semula had umur perkahwinan bagi orang Islam di Selangor,” kata Menteri Besar Amirudin Shari semasa mengemukakan RUU tersebut.
Pindaan ini menjadikan Selangor negeri pertama yang menetapkan had umur perkahwinan orang Islam dinaikkan susulan kontroversi pernikahan seorang kanak-kanak warganegara Thailand yang berusia 11 tahun dengan seorang warganegara Malaysia berusia 41 tahun.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa istiadat pembukaan mesyuarat sidang DNS Isnin lepas bimbang akan kes penikahan bawah umur dan membenarkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyelaraskan had umur perkahwinan.
Menteri besar berkata pindaan dibuat “berdasarkan kemaslahatan semasa” dan melibatkan fasal memastikan kebajikan perempuan berusia bawah 18 tahun terpelihara dan tatacara permohonan kebenaran untuk berkahwin bagi lelaki dan perempuan berusia bawah 18 tahun.