Kenali 7 bahan penjagaan dan kosmetik bibir

Kenali 7 bahan penjagaan dan kosmetik bibir

Selain gincu terdapat pelbagai bahan penjagaan dan kosmetik lain untuk bibir.

 

Selepas berjalan-jalan sekitar pusat beli-belah, kaki melangkah masuk ke beberapa butik menjual barangan kosmetik dan farmasi.

Setelah sekian lama, teringin pula membeli gincu baharu berwarna merah jambu terang. Tetapi di kaunter paparan, turut terdapat beberapa lagi produk untuk bibir selain beberapa pilihan tekstur gincu.

Lazimnya, wanita amat peka terhadap bahan-bahan asas yang diaplikasikan ke atas bibir, seperti balm, gincu dan pengilat atau gloss, tetapi tahukah anda terdapat lebih banyak produk selain yang dinyatakan untuk kegunaan bibir anda?

Jadi eloklah jika kita memahami secara terperinci setiap jenis produk bibir dan baru memilih supaya membuat pilihan yang menepati kehendak. Mari kita kaji setiap satunya:

1. Lip tint

Lip tint merupakan produk bibir yang mudah kering. Jika anda ingin memakainya, maka gunakan lip balm terlebih dahulu untuk melembabkan bibir. Jika anda rasakan gincu tambahan tidak diperlukan dan mahu pewarna bibir yang bertahan sepanjang hari, maka gunakan lip tint. Bagaimanapun elak gunakan lip tint jika bibir anda cenderung untuk kering atau pecah-pecah kerana bibir akan menjadi lebih kering.

2. Lip Primer

Sama seperti primer pada wajah yang digunakan sebelum mengaplikasi foundation, primer bibir juga memiliki fungsi yang serupa. Primer digunakan supaya gincu tahan lebih lama dan bertekstur mulus. Gunakannya sebelum memakai lipstik.

3. Tinted Lip Balm

Lip balm merupakan produk yang wajib dimiliki, terutamanya jika anda memiliki bibir yang kering dan pecah. Simpan dan gunakan lip balm sepanjang hari, pada bila-bila masa ia diperlukan. Terdapat juga pilihan lip balm berwarna dalam pasaran yang anda boleh gunakan.

4. Penggaris bibir

Penggaris bibir ini digunakan untuk membentuk bahagian luar bibir. Warna penggaris sepatutnya mirip dengan lipstik yang akan digunakan. Jangan gunakan penggaris bibir yang berwarna lebih gelap. Bentuk bibir anda terlebih dahulu sebelum memakai gincu.

5. Pengilat bibir

Bagi mereka yang ingin menambah keseksian bibir, jangan lupa oleskan pengilat bibir. Pengilat bibir ini biasanya bertekstur cair dan lebih berkilauan. Sapu beberapa kali sehingga ia diaplikasi secara sama rata. Ia juga boleh disapu tanpa gincu, dan pilihlah warna kesukaan anda. Pastikan bibir anda bersih dan disental bagi menampakkan efek yang lebih menawan.

6. Gincu matte

Bagi mereka yang memilih kesederhanaan termasuk dalam mengaplikasi gincu, maka pilih gincu tekstur matte yang tidak mempunyai sebarang kilauan. Gincu ini tahan lebih lama, memberikan efek liputan menyeluruh pada bibir selain kelihatan lebih natural. Bagaimanapun elakkan jika anda memiliki bibir yang kering kerana kandungan pelembapnya sangat sedikit.
Penggaris bibir sangat sesuai untuk digunakan dengan gincu matte.

7. Gincu krim

Ini adalah pilihan gincu yang umum dan sesuai untuk semua kerana memberi efek halus dan penampilan satin iaitu tidak terlalu matte mahupun terlalu nipis.

Panduan memilih kosmetik bibir:

  1. Pilih warna yang sesuai dengan warna kulit anda.
  2. Amalkan rutin menyental bibir bagi mengeksfoliasi dan menjadikannya lebih sihat.
  3. Pakai lip balm yang kaya dengan Vitamin A, C atau E untuk menghindari bibir pecah.
  4. Gunakan penggaris bibir berpelembab supaya gincu tahan lebih lama.
  5. Elak menyentuh atau membasah bibir dengan menjlatnya.
  6. Minum banyak air dan amal pemakanan yang seimbang.
  7. Gunakan minyak pelembab pada bibir untuk kekal sihat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.