
Sebuah taman tema air yang terletak di dek tingkat 14 di antara 2 menara 30 tingkat bakal menjadi daya tarikan pelancongan terbaharu di Melaka.
Splash World @ Harbour City yang seluas 500,000 kaki persegi dijangka siap menjelang penghujung 2019 dan akan membuka pintu kepada para pengunjung pada suku pertama 2020.
Hatten Land Limited, sebuah syarikat yang tersenarai di Singapura sedang membangunkan taman tema 4 tingkat dengan anggaran kos RM200 juta itu.
Projek yang dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat pengurusan resort iaitu Samsung C & T Corp dan pereka serta pemasang gelongsor air Polin Waterparks itu akan menampilkan sungai buatan manusia yang melintasi 2 tingkat bangunan berkenaan, meliputi 50 tarikan termasuk 11 slaid ekstrem.
Taman tema air yang terletak di dek tingkat 14 bangunan Harbour City itu, adalah pembangunan bercampur bernilai RM1.2 bilion yang dibentuk seperti sebuah kapal besar. Ia merangkumi kawasan binaan seluas 4.5 juta kaki persegi yang menggabungkan elemen-elemen runcit, perhotelan dan hiburan.
Melaka jadi pilihan
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Hatten Land Limited Datuk Colin Tan berkata, taman tema air itu menjadi titik tolak bagi beberapa siri projek Hatten yang bertujuan memacu transformasi sektor pelancongan Melaka.
“Kaya dengan warisan dan budaya, Melaka berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi lokasi penting di peta dunia,” katanya pada Bernama.
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata taman tema dengan reka bentuk dan konsep seumpama itu, tanpa ragu pasti akan meletakkan Melaka di peta global.
“Impak daripada projek ini bukan sahaja akan melampaui sektor pelancongan malah ekonomi lebih meluas, serta mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang baharu untuk perkongsian ekonomi antarabangsa serta pelaburan langsung,” beliau dilaporkan berkata.
Membuka pintu
Tan berkata projek itu dijangka menarik 850,000 sehingga sejuta pengunjung setiap tahun selepas tahun pertama beroperasi.
“Kami berharap dapat meningkatkan jumlah itu sehingga mencapai sekitar 1.5 juta pengunjung pada tahun depan. Selain itu, kami juga berharap dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sambil meningkatkan ekonomi sosial rakyat.
“Kewujudan taman tema air ini juga akan memanjangkan tempoh purata jangka masa lawatan pengunjung dan meningkatkan purata jumlah perbelanjaan mereka setiap hari, itu adalah petanda baik bagi sektor pelancongan Melaka,” katanya.
Melaka, destinasi pelancongan popular di dunia, mencatatkan 16.7 juta kunjungan pelancong pada 2017 dan berharap dapat menarik lebih 17 juta pelancong menjelang akhir tahun ini.