
Bagaimanapun katanya, tidak ada pihak yang membantah pelantikan tersebut.
“Berapa banyak peluang pekerjaan diberikan kerajaan BN dulu kepada jutawan dari Sarawak?
“Pada masa (Tan Sri) Musa Aman jadi ketua menteri, ramai tauke dari Sarawak (dilantik) tapi tiada yang bising ketika itu,” katanya kepada pemberita ketika melawat pameran pekerjaan anjuran Jabatan Buruh Sabah di sini hari ini.
Pelantikan Datuk Hii Chang Lik sebagai presiden SMC mendapat bantahan beberapa pihat, terutama pembangkang yang mempersoalkan kenapa individu kelahiran Sarawak itu dinamakan sebagai presiden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting dari Parti Warisan Sabah, George Hiew bagaimanapun mempertahankan pelantikan tersebut dan berkata tiada sesiapa pun mempersoalkan status atau kedudukan Hii sebagai Ahli Majlis SMC semasa zaman pemerintahan BN.
Kerajaan Sabah pimpinan parti Warisan itu turut dikritik berhubung pelantikan jurutera Armajit Singh sebagai pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Shafie berkata adalah penting untuk “meletakkan orang yang tepat di tempat yang betul”.
Presiden Warisan itu menggesa pengkritik Hii supaya berhenti mempersoalkan warga kelahiran Sarawak itu kerana beliau kini merupakan penduduk tetap Sabah.
“Beliau menetap di Sabah lebih 40 ke 50 tahun. Jika kita mempersoalkan asal usul beliau, akan timbul masalah.
“Malah ada orang berketurunan ‘orang putih’ yang menjadi senator hari ini,” kata Shafie tanpa menamakan individu dimaksudkan beliau.
Memberi respons terhadap kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai layanan adil kepada Sabah dan Sarawak, Shafie berharap ia akan termasuk kemudahan keperluan asas, terutama di kawasan pedalaman negeri Sabah.
Sebagai contoh katanya, Long Pasia, yang merupakan kawasan paling terpencil di Sabah memerlukan kemudahan air terawat, jalan yang baik, hospital dan pendidikan lebih baik.
“Saya pasti akan berbincang dengan Dr Mahathir tentang perkara lain yang kita minta. Betul, beliau ada menyebut tentang penduduk Sabah yang kecil jumlahnya berbanding Semenanjung, tetapi saiz Sabah lebih besar.
“Paling penting kita tidak boleh menafikan keperluan rakyat. Saya tahu ia merupakan pelaburan yang perlu membuahkan hasil, tetapi kita juga perlu menyelamatkan rakyat,” katanya.
Dr Mahathir Mohamad membuat jaminan akan memberi layanan adil kepada Sabah dan Sarawak dan tidak akan membezakan dasar serta pelaksanaan pembangunan di 2 negeri itu dengan negeri di Semenanjung Malaysia.