
Kira-kira 20 pegawai dari jabatan agama Islam Kelantan melakukan serbuan itu sebelum tengah malam.
Difahamkan, pegawai yang terlibat merampas beberapa barangan termasuk bahan bacaan dari pusat yang terletak di Jalan Sri Cemerlang. Kira-kira 10 lelaki dan wanita kemudiannya dibawa ke balai polis berdekatan.
Ketika dihubungi FMT pagi ini, jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) enggan mengesahkan serbuan itu.
Pihak berkuasa Islam di Malaysia menganggap Syiah, fahaman yang terkenal dalam kalangan umat Islam di beberapa negara Timur Tengah, sebagai “menyimpang”, dengan khutbah Jumaat sering memberi amaran kepada umat Islam negara ini menolak ajaran tersebut.
Fatwa 1996 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan melarang ajaran Syiah. Sejak itu, perjumpaan pengikut Syiah sering diserbu dan ditangkap, di mana pengikutnya didakwa dengan kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah.
Sementara itu, seorang pengikut Syiah yang enggan dikenali mempersoalkan masa serbuan itu, mengatakan ia berlaku hanya sehari selepas kuliah di Kota Bharu oleh mufti dari negeri jiran.
Beliau menyifatkan mufti itu sebagai “anti-Syiah” dan mempersoalkan pihak berkuasa Kelantan kerana menggalakkan umat Islam mengambil tindakan terhadap individu yang menolak ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Ia hanya akan menggalakkan ketidaktoleransi antara umat Islam,” katanya.