Harga kepala saya? RM30,000 hidup atau mati

Harga kepala saya? RM30,000 hidup atau mati

3 terkulai layu di kakinya. M Taib Tawal masih teringat kejadian itu seperti ia baru berlaku semalam.

AYER KEROH:
Serangan berlaku dengan pantas dan mendadak. Selepas 15 minit 3 pengganas komunis Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) terkulai layu. Harga sebuah revolusi? Satu hentakan di kepala dan 2 letupan grenad.

Apa yang berlaku pada petang 7 April 1973 menjadi peringatan kepada lebih kurang 30 komunis yang masih bersembunyi di Lundu, dan tidak datang membantu kawan-kawan yang mati.

Sarjan (B) M Taib Tawal, 68, masih teringat kejadian itu seperti ia baru berlaku semalam. Tentera Malaysia datang dan pergi segarang harimau, meninggalkan amaran kepada makhluk ganas lain. Lundu akan aman untuk satu hari lagi.

“Saya dihantar ke Sarawak bagi misi menumpaskan komunis. Ketika itu saya baru sahaja 2 tahun berkhidmat sebagai askar, dan masih berpangkat prebet,” kata Taib ketika ditemui FMT di warung kecil miliknya dan isteri di Kampung Tok Midah, Air Molek, Melaka.

Taib tinggi orangnya dengan bahu yang tegap dan tulang pipi yang menonjol. Rambut putih berkulit gelap, dia suka melawak tapi matanya tersirat getir pertempuran. Jika dulu menghentak komunis di Perlis dan Sarawak, dia kini menjamu pelanggan.

Pada hari kejadian, Taib bersama 11 askar Melayu bawah pimpinan Kapten Hamid Awang diarah meronda hutan Gunung Pueh apabila tentera menerima maklumat tentang aktiviti komunis di situ.

Free Malaysia Today
Taib terselamat kerana tindakan pantas kaptennya.

“Hamid arahkan saya bergerak paling hadapan sebagai peninjau. Dalam keadaan gelap, 11 yang lain ikut saya dari belakang. Apa-apa saya akan kena terlebih dahulu,” katanya sambil tertawa.

Menuju senja, mereka temui 3 pengganas komunis sedang leka berbual. Dengan segera maklumat disampaikan kepada kapten dan Taib diminta mengatur serbuan.

“Sewaktu hendak menembak, senapang saya tidak meletup. Saya meluru dan pukul komunis dengan buntut senapang,” katanya.

“Hamid bertindak pantas menembak komunis dengan 2 das pelancar grenad M79. Disebabkan Hamid saya terselamat. Jika tidak, saya tiada di sini,” tambahnya.

Menurut Taib, seorang askar tewas dalam kejadian itu.

Paraku adalah sayap militan Parti Komunis Kalimantan Utara yang ditubuhkan pada 30 Mac 1971 dan menentang penubuhan Malaysia. Sekumpulan belia, kira-kira 700-800 orang, yang lolos daripada operasi Cawangan Khas susulan Pemberontakan Brunei 1962 menjadi teras kepada formasi Paraku, yang mengganas di timur Sarawak, dan rakan seangkatan, Pasukan Gerilya Rakyat Sarawak (PGRS) di barat.

Peristiwa di Gunung Pueh 1973 satu daripada banyak operasi dalam sejarah penentangan yang berlarutan dari Disember 1962.

“Apabila komunis di bawa keluar dari hutan, ada siaran radio komunis menawarkan RM30,000 untuk dapatkan saya, tidak kira hidup atau mati,” katanya.

Taib kemudian direhatkan di Kuching sebelum dihantar pulang ke Semenanjung.

Gagah, berani

Atas kegagahan dan keberaniannya, Taib antara sekumpulan kecil rakyat yang dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB). Sejak 1958 hingga Disember tahun lalu, hanya 111 individu dianugerahkan pingat itu dengan elaun bulanan.

Dilahirkan pada 1952 di Ayer Molek, Taib dipanggil “budak nakal” oleh orang-orang atasan kerana kelakuan sewaktu muda. Bapanya juga seorang askar yang berkhidmat dalam tentera Tanah Melayu British.

Bapanya mahu Taib bekerja sendiri tetapi budak nakal ini nekad. Secara senyap dia mengikuti kursus rekrut selama 6 bulan di Port Dickson, Negeri Sembilan dan hanya memberitahu bapanya selepas diterima menjadi seorang askar.

Taib bertemu Katijah Mohammed pada 1974 dan mereka dikurniakan 4 cahaya mata. Anak-anaknya semua bekerja sendiri.

Free Malaysia Today
Taib berkata ancaman bukan bentuk fizikal sahaja.

Sudah 61 tahun berlalu dan Malaysia Barat bersiap sedia untuk meraikan hari kebangsaan pada 30 Ogos ini. Taib bersyukur rakyat hidup aman dan damai sejak komunis meletakkan senjata pada Disember 1989 di Semenanjung dan November 1990 di Sarawak.

Namun bagi orang tua yang suka ketawa ini, penentangan komunis bagai baru berlaku semalam.

“Orang muda tidak sewajarnya terlalu selesa dengan keamanan yang rakyat kecapi hari ini. Jangan singkatkan pemikiran bahawa ancaman hanya bentuk fizikal sahaja,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.