
Calon naib presiden PKR itu berkata, sebagai ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-duanya berhak menyuarakan pandangan mereka selepas apa yang berlaku terhadap pemimpin itu lebih 20 tahun lalu.
“Saya rasa memang wajar untuk isteri dan anaknya membuat teguran itu,” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri upacara perasmian Hub Pemberdayaan Wanita Zuraida Kamarudin, hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan pendiriannya sama ada turut membantah pelantikan Rahim selepas dilantik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya bukan kata tidak menyokong (pelantikan Rahim), tetapi saya kata mereka ini sewajarnya membuat kenyataan itu,” katanya.
Hari ini, Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri menyuarakan keraguannya berhubung keputusan kerajaan memilih Rahim sebagai fasilitator baru rundingan damai di selatan Thai.
Malah, Wan Azizah berkata beliau “sangat tidak gembira” dengan pelantikan Rahim dan menganggap ia keputusan prerogatif Dr Mahathir.
“Dr Mahathir beritahu saya Rahim mempunyai pengalaman semasa pemberontakan dan aktiviti pengganas.
“Tetapi saya menjelaskan kepadanya kenapa anak perempuan saya ragu-ragu dengan keputusan itu akibat peristiwa lalu. Ia tidak mudah untuk kami menerimanya,” katanya.
Terdahulu, pelantikan Rahim turut menerima kecaman daripada beberapa pihak, termasuk Nurul Izzah, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan veteran DAP Dr Boo Cheng Hau.
Bagaimanapun, pelantikan itu disokong bekas menteri Tan Sri Zainudin Maidin yang menganggap perkara yang terjadi ke atas Anwar itu patut dilupakan ketika ini kerana ia melibatkan banyak nyawa di negara itu.
Rahim, yang meletak jawatan pada 1999 kerana menyerang Anwar, dipenjarakan selama 2 bulan pada tahun berikutnya.
Beliau menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebagai fasilitator rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thai.