
Timbalan presiden PKR berkata walaupun pihak berkuasa ada asas yang sab bagi menjalankan sesuatu siasatan, beliau mengingatkan kredibiliti usaha memerangi rasuah bergantung kepada kepercayaan awam.
“Kepercayaan hanya akan subur apabila institusi dilihat bertindak secara adil, bertanggungjawab, dan telus,” menurut kenyataan.
Nurul Izzah berkata dakwaan yang kini menjadi perbualan umum menuntut ‘jawapan’ yang telus.
“Kita tidak boleh membiarkan dakwaan yang tidak dijawab dengan sewajarnya mencipta jurang kredibiliti yang akhirnya menggugat usaha nasional yang lebih besar dalam memerangi rasuah,” katanya.
Justeru, Nurul Izzah mencadangkan pengawasan Parlimen ke atas SPRM diperkukuh, kerana ia menyempurnakan usaha membanteras rasuah.
Katanya, laporan berkala kepada Parlimen membolehkan wakil rakyat menilai kerja SPRM, manakala badan-badan seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) yang khusus boleh meneliti dasar, tatacara, dan keputusan penguatkuasaan.
“Pengawasan sedemikian tidak akan mengganggu siasatan, tetapi sebaliknya membantu memastikan undang-undang yang mentadbir SPRM berkembang seiring dengan tahap ketelusan dan keyakinan awam yang lebih tinggi,” katanya.