Sekatan diroboh kerana Orang Asli sendiri merungut, kata MB Kelantan

Sekatan diroboh kerana Orang Asli sendiri merungut, kata MB Kelantan

Ahmad Yakob berkata tindakan itu dibuat berikutan sekatan itu mendapat aduan daripada kaum Orang Asli di kawasan itu sendiri.

Free Malaysia Today
Ahmad Yakob berkata beberapa Orang Asli bertemunya dan merungut mereka tidak dapat menjual barangan mereka disebabkan sekatan itu.
KUALA LUMPUR:
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri bertindak adil dalam merobohkan sekatan pembalakan yang dibina Orang Asli di Gua Musang.

Beliau berkata tindakan itu dibuat berikutan sekatan itu mendapat aduan daripada kaum Orang Asli di kawasan itu sendiri.

“Kerajaan memberi cukup masa. Pihak bertanggungjawab telah mengambil tindakan (membuang sekatan) supaya Orang Asli itu sendiri boleh lalu.

“Beberapa Orang Asli bertemu saya dan merungut mereka tidak dapat menjual barangan mereka (disebabkan sekatan),” katanya kepada media ketika ditemui di International Dakwah Institute-Perkim Kuala Lumpur (IDIPKL) di Balai Islam, Jalan Sultan Azlan Shah.

Pada 27 Ogos lalu, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berkata 3 sekatan pembalakan yang dibina Orang Asli di Gua Musang dirobohkan Jabatan Perhutanan Kelantan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

Katanya, lebih 300 penguat kuasa dan anggota polis memasuki kawasan sekatan itu di Kampung Cawas, Kuala Wok Wok dan Kaleg.

Kumpulan Orang Asli mendirikan sekatan itu sejak 18 Februari lalu bagi menghalang pekerja syarikat pembalakan dan ladang Musang King menceroboh kawasan hutan yang didakwa tanah adat mereka.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata kerajaan negeri sentiasa mengikut undang-undang yang diputuskan di mahkamah berhubung sekatan Orang Asli di Gua Musang.

Katanya, kerajaan negeri juga memberi mereka tanah kekal untuk menanam tanaman mereka.

“Manakala, kawasan yang menjadikan kepada masalah, kami telah mewartanya sebagai tanah terlindung,” katanya.

Ahmad berkata Kelantan juga terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan tentang nasib Orang Asli di Gua Musang itu.

“Kami terbuka untuk itu (bincang dengan Kerajaan Persekutuan). Rundingan belum lagi dimulakan tetapi kami telah berbincang dengan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) dulu.

“Suhakam menerima pandangan kita. Kami tidak bertindak dengan tidak adil kepada Orang Asli.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.