Sebab lemak di perut paling sukar disingkir

Sebab lemak di perut paling sukar disingkir

Perut dan pinggang yang luas boleh menandakan jumlah lemak perut yang berlebihan.

Terlalu banyak usaha perlu dilakukan untuk menyingkir lemak dalam tubuh dan ia bukan semudah yang disangka.

Mengawal pemakanan kepada amalan yang sihat sahaja tidak mencukupi sebaliknya, seseorang itu juga perlu lakukan senaman secara teratur untuk mendapatkan hasil yang lebih baik dan menyeluruh.

Secara umum terdapat 2 jenis lemak dalam tubuh yang dapat kita rasai iaitu: lemak yang menonjol di perut (viseral) dan lemak yang berada di bawah lengan atau paha (subkutaneus).

Persoalannya di sini, sama ada lemak perut atau lemak paha yang paling sukar untuk dikurangkan?

Lemak visceral adalah lemak yang ditemui di rongga perut dan ia merangkumi organ-organ dalaman dalam badan, seperti hati dan limpa.

Sukar untuk melihat berapa banyak lemak perut di dalam badan seseorang dengan mata kasar.

Bagaimanapun, perut dan pinggang yang luas boleh menandakan jumlah lemak perut yang berlebihan. Ini adalah jenis lemak yang boleh mengganggu fungsi organ dalaman seseorang.

Bezanya dengan lemak subkutaneus, lemak ini pula disimpan di bawah kulit, terutamanya di paha.

Lemak paha ini mudah dicubit (untuk merasa kewujudannya), berbanding dengan lemak perut yang tersimpan di dalamnya. Lemak paha subkutaneus dalam jumlah yang mencukupi sebenarnya diperlukan untuk memanaskan badan.

Bagaimanapun, terlalu banyak lemak subkutaneus boleh membawa kesan buruk dan tanda obesiti atau berat badan yang berlebihan.

Menurut laman kesihatan Livestrong, ketika kita mengurangkan kalori dari makanan dan bersenam lebih kerap, kita dengan mudah kehilangan lemak perut terlebih dahulu.

Sifat lemak visceral adalah aktif metabolik, ini yang menjadikan lemak visceral dapat bertindak balas terhadap perubahan diet.

Namun, apabila kandungan lemak visceral semakin bertambah dan dengan banyaknya, maka pembakaran lemak juga menjadi lebih sukar. Inilah keadaan yang berlaku kepada kebanyakan orang dewasa yang berasa sukar mengurangkan lemak di bahagian perut.

Seperti yang dinyatakan, lemak visceral merupakan sejenis lemak yang mempunyai tisu aktif. ini bermakna, lemak perut bukan sahaja terkumpul, tetapi boleh melepaskan sesuatu misalnya hormon dan sebatian yang mencetuskan keradangan ke dalam tubuh.

Lemak perut juga merangsang penghasilan hormon dalam badan dan hormon utama yang dirangsang ialah hormon kortisol.

Kadar hormon kortisol yang tinggi pula akan memudahkan badan menyimpan lemak viser selain merangsang kelaparan.

Hormon kortisol yang berlebihan dalam badan juga menyebabkan lemak sukar disingkir, sekali gus membawa kepada keadaan tertekan.

Dengan adanya lemak visceral, pengeluaran hormon kortisol akan terus wujud dan semakin menebal lemak tersebut, semakin sukar untuk dikeluarkan kerana kortisol akan meningkat di dalam badan.

Harap kini anda faham sebab lemak perut yang sukar untuk diatasi berbanding lemak paha.

Bagaimanapun, jika anda benar-benar serius dalam hal ini, terbaik adalah dengan berjumpa doktor atau pakar perubatan selain pelatih senaman untuk rejin yang berkesan.

Cara hilangkan lemak perut

Tetapkan diet rendah karbohidrat kerana ia adalah cara yang berkesan untuk menghilangkan lemak perut. Beberapa kajian menunjukkan diet ini lebih berkesan untuk menghilangkan lemak perut daripada diet rendah lemak.

Senaman juga sangat penting untuk menghilangkan lemak perut dan paha. Secara ideal, latihan kardio yang boleh meningkatkan kadar jantung dan latihan kekuatan yang dapat meningkatkan kekuatan otot membantu mengurangkan lemak ini.

Contoh latihan kardio yang boleh dilakukan ialah berlari, berbasikal, aerobik dan berenang.

Contoh latihan kekuatan pula ialah seperti squats, push up, dan angkat berat.

Bukan itu sahaja, dalam usaha ini, kita juga perlu bijak menguruskan tekanan kerana ia akan menjadikan tubuh lebih mudah menyimpan lemak visceral. Teknik relaksasi seperti amalan pernafasan mendalam dan teknik pengurusan tekanan boleh diamalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.