MOF pertahan lantik syarikat berkaitan anak Dr M bekal bahan api kenderaan kerajaan

MOF pertahan lantik syarikat berkaitan anak Dr M bekal bahan api kenderaan kerajaan

Kementerian Kewangan memaklumkan Petron bukanlah pembekal tunggal minyak petrol dan diesel kenderaan kerajaan persekutuan.

PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan mempertahankan keputusan melantik Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) sebagai pembekal bahan api untuk kegunaan kenderaan kerajaan.

Kementerian memaklumkan bahawa Petron bukanlah pembekal tunggal minyak petrol dan diesel kenderaan kerajaan Persekutuan.

“Perlu ditegaskan, Petronas dan Shell masih lagi merupakan pembekal minyak petrol dan diesel semenjak 1997 untuk kegunaan kenderaan kerajaan.

“Perlantikan ini dibuat secara pentadbiran kerana ia adalah berkaitan dengan urusan operasi dan tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian berkata, dengan cara ini kerajaan boleh memilih Petronas, Shell dan Petron dan membuka peluang serta persaingan yang sihat.

“Kerajaan juga tidak menghadkan jumlah pembekal di mana pembekal lain yang berwibawa dan mempunyai jaringan stesen di seluruh negara boleh memohon,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai surat perlantikan Petron sebagai pembekal bahan api kepada kerajaan kenderaan.

Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd pada Jun 2013 mengesahkan anak perdana menteri, Tan Sri Mirzan Mahathir adalah ahli lembaga pengarah syarikat induknya, Petron Corporation Filipina.

Beliau menjadi pengarah Petron Corporation pada 13 Ogos 2010 dan juga seorang pemegang saham.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.