
Tan Wah Piow berkata Malaysia menjadi tumpuan rakyat republik itu selepas peristiwa bersejarah 9 Mei lepas, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang selepas 60 tahun memerintah.
“Sudah semestinya Singapura akan susah untuk mengawal perubahan yang telah dicapai oleh negara ini.
“Saya berharap pilihan raya umum 9 Mei lalu boleh membuka mata rakyat Singapura dan tidak takut untuk membuat perubahan,” katanya kepada media selepas bertemu Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.
Wah Piow ditarik kerakyatan Singapura kerana terlibat dalam gerakan Marxist pada 1963. Gerakan itu didakwa mahu menumbangkan rejim pemerintahan waktu itu.
Wah Piow berkata kunjungannya untuk mengkaji sejauh mana keutuhan hubungan kedua-dua negara antara Malaysia dan Singapura.
“Walaupun kerakyatan saya sudah ditarik oleh kerajaan People Action Party (PAP), namun ia tetap tidak boleh menidakkan ‘Singapura’ dalam diri saya,” katanya.
Bagi memastikan hala tuju kedua-dua negara berjalan lancar, beliau berkata satu persidangan melibatkan “individu-individu bukan kerajaan” dari rantau Asia Tenggara akan diadakan tahun depan.
Aktivis sosial Hishamuddin Rais berkata Dr Mahathir bersetuju untuk menghadiri persidangan itu.