Dr M: Anwar tak kritik PH, hanya mahu kerajaan fokus kepada Melayu

Dr M: Anwar tak kritik PH, hanya mahu kerajaan fokus kepada Melayu

Perdana menteri mengulas perbincangannya dengan ketua umum PH itu dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir Mohamad juga berkata beliau tidak tahu dakwaan Hishamuddin Rais berhubung Wan Azizah Wan Ismail mahu Rafizi Ramli menjadi menteri kewangan.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menasihati kerajaan agar memberi perhatian kepada kebajikan orang Melayu dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

Beliau berkata Anwar tidak mengkritik dasar kerajaan yang diamalkan PH, sebaliknya hanya menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu.

“Anwar tidak jumpa saya bagi membincangkan apa-apa tentang pilihan raya kecil seperti yang anda semua dakwa. Benar, beliau ada datang jumpa saya baru-baru ini tetapi hanya melahirkan kerisauan tentang kebajikan orang Melayu yang padanya tidak begitu diberi perhatian.

“Itu sahaja, katanya kita tidak beri perhatian kepada kepentingan dan hak kaum Melayu di negara ini.

“Bagaimanapun beliau tidak mengkritik, sebaliknya sekadar memberi pandangan dan buah fikiran,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Pemimpin Perniagaan Asean di Hotel St Regis.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung pertemuan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menafikan beliau mengetahui dakwaan aktivis politik, Hishamuddin Rais yang mengatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mahu Rafizi Ramli menjadi menteri kewangan.

Beliau berkata akan mengadakan pertemuan dengan Hishamuddin terlebih dahulu sebelum memberi apa-apa kenyataan.

“Hishamuddin akan mengadakan pertemuan dengan saya dalam masa terdekat. Saya tidak tahu tentang dakwaan ini. Saya hanya tahu melalui anda semua,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Hishamuddin yang juga penulis dan pengarah filem mendakwa kepimpinan tertinggi PKR tidak bersetuju Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan, sebaliknya mencadangkan ahli parlimen Pandan itu dalam tulisan terbaharunya.

Hishamuddin juga mendakwa Wan Azizah memberi cadangan agar Anwar dan Rafizi diberi pengampunan selain meminta menangguhkan kerajaan PH selama 2 minggu selepas menang pada PRU14 lepas.

Henti kutipan Tabung Harapan

Dr Mahathir berkata pihaknya kini dalam proses perbincangan bagi menghentikan kutipan derma Tabung Harapan, berkemungkinan besar pada bulan depan.

“Sebenarnya, niat dalam mewujudkan Tabung Harapan adalah satu iniasitif yang sangat mulia dan bagus. Rata-rata rakyat mahu menunjukan rasa sayang dan cinta kepada negara sehingga sanggup menderma walaupun dengan nilai yang sedikit kerana mahu bantu kita tanggung bebanan hutang.

“Kita bukan mahu ‘mansuh’ Tabung Harapan sebaliknya mungkin menghentikan inisiatif ini dalam masa terdekat. Masih dalam peringkat perbincangan tetapi rasanya bulan depan. Kita henti bulan depan,” katanya.

Tabung Harapan yang ditubuhkan pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat yang patriotik menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Penubuhannya juga membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat itu secara sistematik dan telus.

Sehingga jam 3.00 petang hari ini, sebanyak RM179,947,434.22 didermakan oleh rakyat Malaysia kepada Tabung Harapan seperti yang tertera dalam laman web Kementerian Kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.