
Bercakap mengenai diet ramai yang menjadi tidak tentu hala. Bagi mereka berdiet bermakna berlapar, perut kosong.
Sebenarnya tanggapan itu sama sekali salah, kerana anda sebenarnya perlu makan, cuma anda harus awasi pemakanan dan sedar jenis pemakanan yang harus diambil. Baru-baru ini kita diperkenalkan dengan pelan diet yang dikenali sebagai diet keto. Amalan diet keto semakin popular kerana dikatakan berhasil dalam pelbagai aspek dan didakwa lebih sihat untuk kesihatan.
Manakan tidak, ramai selebriti antarabangsa yang dikaitkan dengan diet keto dan dilapor hilang berat yang signifikan dalam tempoh masa pendek.
Namun, secara umum, pro dan kontra diet keto masih menjadi bahan perdebatan dalam kalangan pakar dan pengamal kesihatan. Ada yang mengakui diet ini mampu menurunkan berat, manakala sebilangan lagi pula akui berdepan penyakit sebagai kesan dari diet ini.
Seperti yang diketahui, diet keto mengetatkan pengambilan karbohidrat pada kadar rendah dan tinggi lemak. Ia memerlukan pengamalnya mengambil 60-70% lemak daripada jumlah keperluan nutrisi harian.
Ini menimbulkan persoalan jika diet keto ini benar-benar berhasil dan boleh memberi kesan jangka panjang yang positif.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Physiology, diet keto boleh mencetuskan peningkatan risiko diabetes jenis 2. Ini kerana diet ini menghalang tubuh mengawal gula dalam darah, serta penentangan insulin.
Penyelidik, Christian Wolfrum dalam kajiannya menyatakan apabila hati tidak mampu bertindak balas dengan kadar normal insulin untuk mengawal gula darah, risiko diabetes semakin terdorong untuk meningkat. Jelasnya, diabetes adalah salah satu masalah terbesar yang dihadapi masyarakat dunia hari ini.
“Meskipun diet ketogenik diakui sihat, tetapi penemuan kami menunjukkan ia mungkin ada peningkatan risiko rintangan insulin dan menyebabkan diabetes jenis 2,” kata Wolfrum, seperti yang dipetik News.sky.
Kajian ini dianggap memberi peringatan, setiap diet yang mengenakan sekatan melampau menyebabkan masalah kesihatan yang tak diduga, seperti yang pernah diucapkan oleh profesor epidemiologi genetik di Kings College, London, Tim Spector.
“Ramai yang menghadkan pengambilan karbohidrat dengan mengurangkan sayuran dan pengambilan serat. Namun ia mempunyai kesan buruk pada kesihatan,” kata Spector.
Diet keto ini sebenarnya diterapkan untuk pesakit epilepsi atau sawan kerana pengurangan pengambilan karbohidrat dalam kalangan pesakit epilepsi dipercayai dapat mengurangkan hantaran elektrik di otak yang sering menyebabkan kejang.