Pihak berkuasa roboh 3 sekatan dibina Orang Asli di Gua Musang

Pihak berkuasa roboh 3 sekatan dibina Orang Asli di Gua Musang

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berkata, lebih 300 penguat kuasa dan anggota polis memasuki kawasan sekatan di Kampung Cawas, Kuala Wok Wok dan Kaleg.

Free Malaysia Today
Penguatkuasa merobohkan sekatan yang didirikan Orang Asli di Gua Musang.
PETALING JAYA:
Tiga sekatan pembalakan yang dibina Orang Asli di Gua Musang dirobohkan Jabatan Perhutanan Kelantan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri hari ini, kata Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along.

Katanya, lebih 300 penguat kuasa dan anggota polis memasuki kawasan sekatan itu di Kampung Cawas, Kuala Wok Wok dan Kaleg kira-kira 10 pagi tadi.

“Blockade memang sudah dirobohkan kira-kira 10.15 pagi tadi.

Free Malaysia Today
Seramai 234 anggota polis, termasuk FRU turut dikerahkan mengawal keadaan ketika sekatan dirobohkan.

“Pihak berkuasa yang bertindak merobohkan sekatan ialah Jabatan Perhutanan, pihak polis dan dikawal ketat pihak FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan),” katanya kepada FMT hari ini.

Mustafa berkata, tiada tangkapan atau kekecohan berlaku ketika sekatan dirobohkan.

“Pihak berkuasa hanya merobohkan palang sekatan jalan sahaja dan pondok yang didirikan di kawasan sekatan tidak diusik.”

Kumpulan Orang Asli mendirikan sekatan itu sejak 18 Februari lalu bagi menghalang pekerja syarikat pembalakan dan ladang Musang King menceroboh kawasan hutan yang didakwa tanah adat mereka.

“Kami akan adakan mesyuarat dengan komuniti Orang Asli petang ini dan keputusan sama ada kita akan dirikan semula (sekatan) atau tidak, petang ini akan diputuskan.

“Kemungkinan besar kami akan bina semula sekatan.”

Free Malaysia Today
Seramai 150 Orang Asli berkumpul di 3 sekatan itu dan tiada pergaduhan atau protes berlaku.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Mohd Taufik Maidin dipetik Bernama mengesahkan 3 sekatan – Kampung Depak di Pos Tohoi, Kampung Cawas di Pos Bihai dan Kuala Wok Wok di Pos Pasik dirobohkan.

Katanya, kira-kira 200 anggota Jabatan Perhutanan Kelantan terbabit dalam operasi hari ini sambil diawasi 234 anggota polis.

Beliau berkata, 150 Orang Asli berkumpul di 3 sekatan itu, tetapi tiada pergaduhan atau protes berlaku dan pihaknya menasihatkan kumpulan berkenaan tidak membina sekatan lagi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata, aktiviti merobohkan sekatan itu dilakukan atas arahan kerajaan negeri.

“Aktiviti meroboh sekatan oleh pihak berkuasa hari ini di bawah kerajaan negeri dan tidak ada kaitan dengan kerajaan pusat,” katanya kepada FMT hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.