Dr M: Kerajaan timbang cukai soda galak cara hidup sihat

Dr M: Kerajaan timbang cukai soda galak cara hidup sihat

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengurangkan penggunaan gula yang boleh menyebabkan penyakit diabetes.

Free Malaysia Today
Berhubung projek Forest City di Johor, Dr Mahathir berkata beliau tidak bersetuju dengan idea membina bandar untuk orang asing. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang menimbang untuk melaksanakan cukai soda bagi menggalakkan hidup yang lebih sihat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata langkah itu bertujuan untuk mengurangkan penggunaan gula yang boleh menyebabkan penyakit diabetes.

“Kadar diabetes di Malaysia sangat tinggi kerana kita mengambil terlalu banyak gula,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Cities 4.0 + Business 4.0, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai pendirian kerajaan berkenaan pelaksanaan cukai soda untuk meningkatkan hasil kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga akan memulihkan semula Cyberjaya untuk lebih menumpukan kepada industri berasaskan teknologi dan pembangunan teknologi baru serta penggunaannya.

“KIta akan menggalakkan penggunaan Cyberjaya bagi industri seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata mungkin akan ada gelombang kedua pembangunan dalam Koridor Raya Multimedia yang dipacu kemajuan teknologi dalam era digital.

Ditanya mengenai projek Forest City di Johor, Dr Mahathir berkata beliau tidak bersetuju dengan idea membina bandar bagi orang asing.

“Apa yang pasti adalah, bandar itu yang akan dibina tidak boleh dijual kepada orang asing.

“Kita membantah kerana ia dibina bagi orang asing, bukan untuk rakyat Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli apartmen itu,” katanya.

Sementara itu, mengenai Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Dr Mahathir berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengeluarkan laporan CEP kepada umum.

Beliau berkata tugas CEP adalah untuk menyiasat dan mengemukakan laporan kepada beliau untuk tindakan selanjutnya.

“Tugas mereka adalah untuk menyiasat. Sama ada saya terima atau tidak adalah urusan saya, tetapi tanggungjawab utama mereka adalah menyediakan maklumat yang saya perlukan untuk membuat keputusan,” katanya.

Persidangan dan pameran selama 3 hari itu yang bertemakan “To Elevate Smart City and Digital Adoption in Malaysia and the Region” bertujuan mendedahkan kepada para peserta maklumat penting dan strategi untuk mengguna pakai transformasi digital dalam pelbagai aspek perancangan dan pembangunan bandar serta meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.