
Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akui belum nampak sokongan Cina kepada partinya di DUN Seri Setia, namun pendapatnya bersandarkan kayu ukur seorang pemimpin dalam masyarakat itu.
“Kalau orang Cina pegang pada manifesto 100 hari Pakatan Harapan (PH) tiba-tiba mereka tidak tunaikan janji, bagi pengundi Cina ini satu benda besar. Orang Cina tak boleh pemimpin berbohong, ini jiwa dia, hati budi dia,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS Selangor hari ini.
Beliau ditanya pemberita mengenai respons pengundi Cina kepada kempen PAS setakat hari ke-8 berkempen.
Sebelum itu, media melaporkan calon PAS Dr Halimah Ali mengakui PAS sukar menarik sokongan pengundi Cina, yang masih menyokong “propaganda PH”.
Sementara itu, Naib Pengerusi Penyokong PAS Selangor Kong Tuck Wah meminta pengundi Cina mendengar suara pembangkang walaupun kebanyakannya masih memberi peluang kepada PH.
“Masa ini baru 100 hari orang Cina masih beri peluang pada PH. Tetapi apabila masuk 2 tahun dan mereka rasa sakit baru mereka akan cakap kerajaan tidak berpegang pada janji,” katanya kepada pemberita.
“Janji minyak akan turun tetapi minyak dalam tangki sahaja. Parti politik mesti pegang janji dan mesti tunaikan. Saya harap pengundi pakai kedua-dua telinga untuk mendengar suara kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika ditanya mengenai sokongan daripada parti pembangkang lain berkata jentera Umno, MIC dan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) “sudah turun padang”.
“Tetapi kita memahami situasi MCA sedang fokus di PRK DUN Balakong. Jentera dia tumpu di sana,” katannya.