Tiada keperluan tubuh RCI siasat ECRL, 2 projek dibatalkan, kata menteri

Tiada keperluan tubuh RCI siasat ECRL, 2 projek dibatalkan, kata menteri

Najib turut menggesa kerajaan mendedahkan semua perjanjian, kajian impak ekonomi, kebolehlaksanaan dan analisis kos manfaat 3 projek itu.

Free Malaysia Today
Liew berkata terdapat proses lain bagi melihat isu pembatalan 3 projek itu iaitu dengan membentangkannya kepada jawatankuasa Parlimen.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew berkata tiada keperluan pada masa ini untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menentukan jika wujud salah laku dalam 3 projek berbilion ringgit yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Beliau berkata, terdapat proses lain bagi melihat isu pembatalan 3 projek berkenaan iaitu dengan membentangkannya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Saya rasa itu lebih berkesan kerana ia bertanggungjawab kepada Parlimen nanti,” katanya ketika dihubungi FMT.

Selasa lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan 3 projek iaitu projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Dr Mahathir berkata pembatalan 3 projek itu membabitkan peruntukan besar dan Malaysia tidak terlalu memerlukannya ketika ini kerana kedudukan kewangan negara dan beban hutang ditinggalkan kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa penubuhan RCI untuk menentukan jika wujud salah laku dalam 3 projek berbilion ringgit yang dibatalkan itu.

Najib turut menggesa kerajaan mendedahkan semua perjanjian, kajian impak ekonomi, kebolehlaksanaan dan analisis kos manfaat untuk rakyat menilai sama ada 3 projek itu perlu diteruskan atau dibatalkan.

Mengulas lanjut Liew berkata, perkara itu sesuai didedahkan di Parlimen kerana mereka yang terlibat dalam pembatalan 3 projek berkenaan boleh disoal secara terbuka oleh jawatankuasa.

“Daripada segi itu ia lebih berkesan kerana ia bertanggungjawab kepada Parlimen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.