Tips hadapi peperiksaan

Tips hadapi peperiksaan

Setiap peperiksaan perlukan banyak persediaan dan pembelajaran rapi.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir. Sudah pasti calon-calon peperiksaan SPM semakin berdebar-debar untuk menanti hari yang cukup bersejarah itu.

Semua orang yang mengambil peperiksaan pasti akan berdebar walaupun mereka mengambil peperiksaan berpuluh-puluh kali, dan semua calon semestinya mahu lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Justeru, kami ingin kongsikan kepada anda semua tips untuk cemerlang dalam peperiksaan. Tips-tips ini tidak terhad kepada pelajar SPM sahaja tetapi juga untuk pelajar UPSR, PT3, dan siswa siswi yang mengambil peperiksaan di universiti. Tips-tips tersebut ialah :

Banyakkan membuat latihan

Jika anda hendak mahir akan sesuatu perkara, maka anda perlu selalu melakukannya. Jika anda hendak mahir dengan subjek Matematik, maka anda hendaklah banyak membuat latihan Matematik. Begitu juga jika anda hendak mahir menulis karangan bahasa Melayu. Anda perlu banyakkan menulis karangan dan minta guru anda untuk semak karangan anda itu.

Tumpukan perhatian semasa guru mengajar

Sebenarnya pelajar tidak perlu study hard jika mereka menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang mengajar di hadapan. Namun begitu, tidak ramai pelajar menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar. Semasa guru mengajar, beri perhatian sepenuhnya. Jika ada sesuatu perkara yang tidak difahami, segeralah bertanya kepada guru.

Buat nota ringkas

Jika anda seorang yang malas untuk membaca buku dari kulit ke kulit, disarankan anda membuat nota ringkas. Tulis nota ringkas itu di atas kertas yang kecil dan bawalah ke mana-mana. Bacalah nota tersebut semasa anda sedang menunggu bas, semasa menunggu guru masuk ke kelas, semasa menunggu perhimpunan pagi bermula dan sebagainya. Jika anda tidak tahu membuat nota ringkas, sila rujuk kepada guru anda.

Hormati guru dan ibu bapa

Hormatilah guru dan ibu bapa anda kerana mereka sering berkorban untuk anda. Doa mereka untuk kejayaan anda pasti akan dimakbulkan Tuhan. Jika anda tidak menghormati mereka, keberkatan dalam belajar itu tidak ada maka anda sukar untuk berjaya.

Belajar dalam kumpulan

Jika anda jenis pelajar yang suka belajar dalam kumpulan, maka ajaklah kawan bijak untuk belajar bersama anda. Begitu juga jika anda lemah dalam sesuatu subjek seperti subjek Matematik misalnya. Ajaklah kawan yang mahir dalam subjek itu untuk belajar bersama anda. Jika anda tidak faham sesuatu perkara, maka anda boleh terus bertanya kepadanya. Namun begitu, bukan semua subjek boleh dipelajari secara dalam kumpulan. Subjek yang membaca atau memerlukan anda menghafal biasanya tidak sesuai.

Lawan diri sendiri

Musuh kejayaan semua orang di dunia ini ialah diri mereka sendiri. Jika anda malas, maka pastilah kejayaan sukar anda kecapi. Anda perlu melawan perasaan malas anda itu untuk terus membuat ulangkaji pelajaran atau membuat latihan. Ingatlah, perasaan malas itu tidak seberapa berbanding nikmat kejayaan yang akan anda kecapi setelah anda berusaha bersungguh-sungguh.

Itulah antara tips untuk cemerlang dalam peperiksaan daripada kami. Ikutilah tips yang kami berikan ini jika anda ingin cemerlang dalam peperiksaan. Percayalah, untuk mendapat kecemerlangan itu tidak mudah. Jika anda hendak cemerlang, anda perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Semoga berjaya!

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.