
Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, perkara itu boleh dicapai dengan membubarkan Majlis Penasihat Kerajaan yang sepatutnya dilakukan cukup tempoh 100 hari Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Katanya, keputusan Dr Mahathir meneruskan khidmat Majlis Penasihat Kerajaan hanya akan memberi gambaran bahawa Kabinet baru itu masih “bertatih” dan kurang berupaya untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan.
“Kadang kala kita lihat Majlis Penasihat Kerajaan ini melebihi menteri, jadi sepatutnya pada hari ke-100 (pentadbiran PH) ia mesti dibubarkan.
“Mereka (Kabinet) sudah ada, sepatutnya peranan ini diberikan kepada menteri kerana mereka dipilih oleh rakyat, sedangkan majlis penasihat hanya mendapat mandat daripada menteri sahaja,” katanya kepada FMT.
Khamis lepas Tun Mahathir mengumumkan badan itu tidak akan dibubarkan buat masa ini walaupun pada asalnya memberitahu peranannya akan ditamatkan selepas 100 hari PH memerintah.
Pada awal penubuhannya Dr Mahathir berkata majlis itu diperlukan untuk menstabilkan kerajaan yang terdiri daripada menteri yang tidak berpengalaman.
Menurut Azmi, Kabinet yang ada kini mungkin yang terbaik dalam kalangan anggota PH, walaupun mengakui pemilihan mereka dibuat berdasarkan kedudukan masing-masing dalam parti.
Jelasnya, meskipun ada yang beranggapan sesetengah pemimpin kurang berkelayakan, namun tempoh 100 hari lepas sudah cukup untuk membuktikan kemampuan mereka kepada rakyat.
Beliau berkata, setiap menteri perlu menonjolkan kebolehan mereka supaya tidak ada pihak yang boleh mengatakan bahawa Dr Mahathir masih mengamalkan cara “autokratik” seperti pentadbirannya terdahulu apabila mahu mengekalkan majlis penasihat.
“Selepas 100 hari tidak sepatutnya mereka terlalu bergantung kepada badan penasihat itu, terutamanya dalam isu dasar luar. Kabinet perlu berani membuat keputusan.
“Saya dapati sekarang memang agak jelas kebergantungan kerajaan kepada majlis penasihat, walaupun jelas juga keputusan akhir yang dibuat tetap dilakukan selepas perbincangan bersama dalam PH.
“Itu isyarat yang baik supaya kita tidak kembali kepada pemerintahan cara autokratik sebelum ini,” katanya lagi.