Sepanjang penjajahan Portugis dan Belanda di Tanah Melayu, kedua-dua kuasa Eropah tersebut tidak mengubah kehidupan bangsa Melayu secara signifikan.Benar, kedua-duanya masih penakluk dan sifat penakluk adalah meratah. Kehadiran Inggeris bagaimanapun meratah dan menjarah.
Pendudukan Inggeris di Tanah Melayu dalam abad ke 18 dan ke 19 antara lain menjarah undang-undang umat Melayu. Benar, terdapatnya pengaruh undang-undang dan hukum-hakam Islam.
Namun demikian, keberadaan undang-undang Islam itu sangat bersebati dengan undang-undang adat, iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Kesebatian 3 undang-undang inilah yang dinamai undang-undang Melayu, dan undang-undang inilah yang dijarah British.
Inggeris mula-mula memperkenalkan “The Royal Charter of Justice” di Pulau Pinang pada 1786.
Seterusnya “Charter of Justice” kedua dan ketiga diketengah dan diaplikasikan di Melaka dan Singapura.
Ketiga-tiga negeri ini adalah di bawah pentadbiran pejabat British untuk Negeri Selat. Tidak lama kemudian Inggeris mencampuri urusan negeri-negeri Melayu di Perak, dan Selangor pada 1874, di Pahang pada tahun 1888, dan di Negeri Sembilan pada 1889.
Memorandum Stamford Raffles kepada Sultan Johor pada tahun 1873 dan Perjanjian Pangkor pada 1874 memperlihatkan kuasa Raja-raja Melayu dihadkan kepada perkara adat dan agama sahaja. Inggeris sepatutnya tidak mencampuri dua wilayah tersebut.
Akan tetapi sifat meratah dan menjarah British terjelma dengan segera. Pelantikan dan upah qadi misalnya terletak di bawah ketiak Inggeris, demikian juga urusan berkaitan masjid dan zakat.
Ini termasuklah hal-hal membabitkan nikah kahwin dan perceraian dan beberapa hukuman menurut undang-undang Islam. Dalam erti kata lain, Islam mulai diregulasi dan dikotak. Dalam bahasa lain Islam mengalami penginstitusian secara sedar.
Penjajah, penakluk dan penjarah British kemudian memperkenalkan jawatan mufti pada 1908. Ketika itu mufti dilantik oleh Gabenor agar dapat menjalankan peranan sebagai penasihat berkaitan hukum syarak.
Kebanyakan peranan mufti tatkala ini adalah untuk memudahkan kerja pendaftar perkahwinan dan perceraian khusus dalam menyelesaikan aneka kes-kes rayuan yang sebelum ini di bawah kuasa kadi. Tentu sahaja jawatan mufti ini sudah pun wujud sebelum dari itu jika kita melihat kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Johor tahun 1895 atau Terengganu 1911, yang mana tugas mereka adalah menjadi pakar rujuk Raja-raja Melayu dalam hal-hal berkaitan hukum syarak. Di Kelantan, mufti diberi gelar Sheikhul Islam.
Mufti lantikan penjajah British ini akan merujuk antara lain buku-buku yang disediakan oleh Inggeris; “Howard’s Translation of the Minhaj al-Talibin” dan “Digest of Mohamedan Law” tulisan Neil B.E. Bailie.
Rujukan penulis Syiah
Rujukan utama mufti lantikan British adalah “Mohamedan Law” oleh Syed Ameer Ali (1849-1928) yang merupakan seorang sarjana undang-undang di Universiti Islam Aligarh. Beliau juga adalah pengasas Liga Islam India dan hidup sezaman dengan penyair Pakistan, Muhamad Iqbal.
Syed Ameer adalah seorang penganut Syiah. Akan tetapi uniknya, Mohamedan Law yang menjadi rujukan para mufti di Tanah Melayu oleh lantikan British ini tidak menumpukan kepada sumber Syiah sahaja.
Malah, Syed Ameer dianggap seorang “liberal” dan dalam banyak keadaan tidak menganggap ulama Syiah sebagai satu-satunya sumber. Itulah sebabnya sukar ditemukan satu-satu undang-undang yang sangat berpihak kepada satu mazhab, apatah lagi yang semata-mata terfokus kepada fikah Jafari (Syiah).
Syed Ameer hanya terbatas merujuk fikah Jafari dalam undang-undang wakaf sahaja. Pandangan beliau dalam hak asasi manusia, pembukaan pintu ijtihad dan penekanan hal-hal akhlak, etika dan moral sentiasa dianggap segar.
Ketika pemerintahan Inggeris ini Raja-raja Melayu dibiar memantau mereka yang tidak bersolat Jumaat (Order in Council of 1885), dan hukum berzina seperti di Perak (Order in Council No. 1 1894) sehinggalah sistem kehakiman sivil diperkenalkan awal abad ke-20.
Saat itu hukum syariah di Tanah Melayu berada di ambang kepupusan dan sangat terbatas kepada undang-undang peribadi melibatkan pewarisan dan satu dua kesalahan agama. Tambah pula tiada satu sistem syariah yang teratur pada waktu itu.
Malaya adalah sebuah negeri yang rencam dan majmuk dengan kemasukan bangsa India dan Cina yang membawa sama kepelbagaian cara hidup, budaya dan kepercayaan. Oleh sebab itu Inggeris mengalami kesulitan untuk menyeragamkan undang-undang demi menjaga keberagaman yang ada.
Meskipun British tidak patut mencampuri urusan adat dan agama, penjajah terpaksa juga menggubal undang-undang berkaitan matrimony, dan pandangan Syed Ameer Ali diambil untuk memperbolehkan undnag-undang syariah pertama di bawah peruntukan Mohammedan Marriage Ordinance 1888 (Ordinance No. 5, 1888).
Tentu, dalam banyak keadaan, tindakan British ini melanggar kuasa Lembaga Adat dan mereka kemudian memperkenalkan pula Customary Tenure Enactment 1909 kerana ingin menjaga pula kumpulan Melayu yang mempertahankan adat.
Dalam tahun 1930an, beransur-ansur British memperkenalkan undang-undang syariah menerusi pelbagai enakmen selain lain mendenda mereka yang tidak bersembahyang Jumaat. Enakmen berasingan mulai digubal seperti Muhammadan Law and Malay Custom (Determination) Enactment 1930, Muhammadan Marriage and Divorce Registration Enactment 1931, the Muhammadan (Offences) Enactment 1938 dan Council of Religion and Malay Customs Enactment 1949.
British juga dalam masa yang sama memperkasakan Civil Law Ordinance 1937 yang mana sedar tidak sedar mewujudkan dualisme dalam undang-undang. Terkemudian Civil Law Enactment 1956 diperkenalkan sebagai undang-undang paling dasar.
Bermulanya ‘pentadbiran agama’
Moshe Yegar, seorang penyelidik berbangsa Yahudi dan rakyat Israel dari Hebrew University of Jerusalem pernah menetap di Malaysia dari bulan November 1964 sehingga hujung 1965.
Hasil penelitian Yegar, pada 1979 beliau menerbitkan sebuah buku akademik yang kandungannya memuji “kebijaksanaan British” dalam memperkenalkan birokrasi Islam di Malaysia sehingga Islam akhirnya menjadi satu jurus yang tertentu.
Dalam buku “Islam and Islamic Institutions in British Malaya: Policies and Implementation”, Yegar menegaskan Inggerislah yang membantu kodifikasi undang-undang Islam, membuka jalan kepada penubuhan pentadbiran agama dan membolehkan para Raja Melayu berperanan dengan jelas dalam hal melibatkan agama.
Penginstitusian Islam seperti yang terlihat pada Jabatan Kemajuan Agama Islam hari ini, menurut Yegar membuahkan semacam “authoritative Islam” yang dipertahan oleh Malaysia sebagai “satu urusan di bawah takluk perlembagaan”.
Hari Merdeka mendatang ini, bolehlah para agamawan mengucapkan tahmid dan syukur bahawa apa yang dinikmati hari ini tidak akan terjadi tanpa episod sejarah yang unik di atas.
Tanpa campur tangan Inggeris, para ulama seperti mufti, kadhi dan lebai hari ini tidak akan menikmati kehidupan makmur.
Boleh sahaja Inggeris mensivilkan seluruh undang-undang di Malaysia dan memadamkan jangka hayat undang-undang syarak atau pun adat.
Bahkan, anehnya penubuhan dan penggubalan undang-undang syariah di Malaysia ini turut mendapat masukan dari sumber seorang Syiah yang liberal seperti Syed Ameer Ali.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.