
Beliau berkata, kajian jawatankuasa khas menunjukkan ada beberapa projek yang diragui, namun ada di antaranya masih boleh diteruskan kerana tidak bermasalah.
Katanya, bagi projek yang memerlukan rundingan, pihaknya akan berjumpa dengan pihak pemaju untuk membuat perbincangan.
“Hasil daripada kajian dalam beberapa pertemuan dengan pihak jawatankuasa khas untuk menyiasat 97 projek tersebut, terdapat projek yang boleh diteruskan, tetapi ada juga projek-projek yang masih boleh dirunding dan juga projek yang memerlukan siasatan yang terperinci,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel.
Khalid berkata, syor kajian ini akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
“Jika beliau (Tun Dr Mahathir) kata okey kepada syor yang kita majukan, kita akan teruskan pelaksanaan ini.”
Khalid berkata, kerajaan terdahulu mengamalkan konsep tender tertutup dan rundingan terus untuk pelaksanaan projek Rumawip yang mendedahkan kepada kemungkinan berlaku rasuah dalam perolehan projek.
Julai lalu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mahu SPRM menyiasat dakwaan awal 64 lot penjualan tanah kerajaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju yang didakwanya tidak mematuhi prosedur kerajaan.