
Katanya, sejak kembali dari Turki, ramai ahli Parlimen menemuinya.
“Dari semua parti dan kita berbeza pendapat semasa pilihan raya, tapi kita tak ada permusuhan peribadi.
“Ramai jumpa…dari Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan, Kedah dari semua parti, ada masalah?
“Saya bincang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu dan beritahu (dia) sebaik sahaja ada keputusan, saya maklumkan dia dulu,” katanya selepas menemui beberapa budayawan di ibu pejabat PKR, hari ini.
Rabu lalu, sumber yang dipetik FMT berkata, Anwar mungkin bertanding di kerusi yang dimenangi ahli Parlimen bebas di Perak atas tiket Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
Sumber itu berkata, ahli Parlimen bebas itu menemui Anwar dan menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepadanya.
Sementara itu, Anwar menyarankan ahli Parlimen mengikuti kursus bahasa Malaysia untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa kebangsaan.
“Ramai yang menegur tentang prestasi ahli-ahli Parlimen di Parlimen kerana bahasa…pertamanya lemah, keduanya kesat dan kurang sopan.”
Katanya, ketika PKR bersama DAP dan PAS mengambil alih kerajaan Selangor pada 2008, Pakatan Rakyat ketika itu menganjurkan kursus bahasa Malaysia untuk Adun.
“Kalau tidak, malu nanti anak-anak dengar. Dia tengok mutu penguasaan bahasa jauh lemah daripada pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia.”
Ditanya jika kerajaan pimpinan PH perlu mengurangkan tindakan mengharamkan buku, bekas menteri pendidikan itu berkata, tidak salah penulis mempunyai pandangan berbeza dan diberi ruang untuk bebas bersuara, tetapi ada syaratnya.
“Melainkan buku seperti Satanic Verses dan buku-buku menghina, mengecam agama dan nabi-nabi serta Islam.”