Pakar persoal idea kereta nasional ke-3

Pakar persoal idea kereta nasional ke-3

Adalah lebih baik dipertingkat sokongan kepada Proton, Perodua dan institut penyelidikan automatif, kata konsultan pengangkutan.

Free Malaysia Today
Persaingan sengit dihadapi Proton dan Perodua daripada pengeluar asing akan memburukkan lagi keadaan 2 syarikat tersebut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar pengangkutan mempersoalkan kebijaksanaan projek kereta nasional ke-3 jika objektifnya untuk membangunkan industri automatif tempatan.

Goh Bok Yen, konsultan pengangkutan veteran dengan pengalaman lebih 30 tahun, memberitahu FMT objektif itu lebih mungkin tercapai sekiranya kerajaan meningkatkan sokongan kepada syarikat tempatan yang sedia mengeluarkan kenderaan bermotor dan institusi yang memfokus pada penyelidikan serta pembangunan automotif.

Goh yang memberi respons terhadap laporan bahawa kerajaan akan meminta bantuan daripada pembuat kereta Jepun untuk projek tersebut berkata, ia menunjukkan Putrajaya tidak berfikir untuk memajukan pengetahuan dan kemahiran tempatan dari bawah.

“Jika itu keadaannya, adalah lebih baik kerajaan menyokong Proton dan Perodua yang sudah sedia mempunyai platform, dana dan bakat sendiri,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan memberi insentif cukai kepada pengeluar automatif sedia ada dan meningkatkan pembiayaan kepada kolej automatif.

Goh juga bercakap tentang persaingan sengit dihadapi Proton dan Perodua daripada pengeluar asing dan berkata, projek kereta baru itu hanya akan memburukkan keadaan 2 syarikat tersebut.

Perodua kini merupakan pemegang saham terbesar pasaran kereta tempatan sebanyak 39.8%, tetapi tahun lepas Honda mengambil alih kedudukan Proton di tempat kedua dengan pegangan 21.3%, dengan Proton di tempat ketiga sebanyak 13.8%

Goh berkata, beliau tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan Proton tidak lagi boleh dipanggil syarikat kereta Malaysia kerana 49% daripada sahamnya kini dimiliki syarikat pembuat kereta China, Geely.

“Ia masih dibuat di Malaysia dan oleh rakyat Malaysia” katanya.”Tambahan lagi selama ini pun Proton menggunakan teknologi Jepun sebelum dibeli oleh Geely.

“Malah kereta ketiga pun akan disandarkan kepada platform asing atau menggunakan teknologi luar, dan itu tidak menjadikannya bukan kereta Malaysia.”

Beliau bagaimanapun percaya persaingan daripada pengeluar terkenal akan menjadikan projek itu tidak berdaya maju, walaupun jika ia dibiayai dana swasta. “Oleh sebab itu saya fikir adalah lebih baik kerajaan memberi perhatian kepada Proton dan Perodua.”

Ahli ekonomi, Adli Amirullah dari Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (Ideas) mempunyai pendapat yang sama dan berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha pemasaran kereta nasional sedia ada ke luar negara.

Bagaimanapun kata beliau, jika projek tersebut diteruskan juga kerajaan mesti mengelak daripada menggunakan dana awam dan perlu mengeluarkan dokumen awam menghuraikan analisis kos faedahnya. “Setelah itu barulah kita boleh memutuskan sekiranya projek kereta nasional ke-3 itu langkah maju atau sebaliknya.”

Beliau membantah kemungkinan syarikat berkait kerajaan melabur dalam projek berkenaan, dan berkata motif politik di sebaliknya tidak boleh diterima sama sekali.

Adli juga berkata, rakyat lebih beruntung sekiranya kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki pengangkutan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.