
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau menerima permohonan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya usul dibawanya ditangguhkan ke sesi akan datang.
“Hal ini kerana difahamkan Kinabatangan setuju meminta maaf atas keterlanjurannya menggunakan kata-kata kurang sopan ketika sesi perbahasan pada 7 Ogos lalu.
“Kinabatangan turut memohon meninggalkan majlis kerana terdapat urusan mendesak dan berjanji akan buat permohonan maaf secara terbuka pada mesyuarat akan datang,” kata Ariff.
Bung Moktar mencetuskan kekecohan minggu lalu ketika beliau mencarut “F*** you” semasa perbahasan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018, selepas Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) mempersoalkan jika beliau pernah ke sebuah kasino.
Bung Moktar segera bangkit dan berkata: “F*** you! Kau salah orang”.
Beliau kemudian menarik balik perkataan itu dan speaker memberi amaran akan mengarahkannya keluar dewan jika mengulangi perbuatan itu.
Pagi tadi, Dewan Rakyat meluluskan usul dibawakan Zuraida untuk merujuk Bung Moktar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana penggunaan perkataan kesat itu menyinggung ahli Parlimen, khasnya wanita dan mencemarkan prestij serta nama baik Dewan Rakyat.