2 maut dalam insiden berbalas tembakan di selatan Thailand

2 maut dalam insiden berbalas tembakan di selatan Thailand

Lima lagi lelaki menyerah diri selepas kira-kira 100 anggota keselamatan Thailand mengepung sebuah rumah di Kampung Telok Kabuh, Yala, hari ini.

Free Malaysia Today
Seorang daripada 5 lelaki yang menyerah diri kepada pasukan keselamatan Thailand selepas insiden tembak-menembak di Yala, selatan Thailand, hari ini. (Gambar Bernama)
YALA:
Dua lelaki bersenjata terbunuh, manakala 5 yang lain menyerah diri selepas insiden tembak-menembak dengan pasukan keselamatan di daerah Kampung Telok Kabuh, di Krong Pinang, selatan Thailand hari ini.

Kejadian itu berlaku selepas kira-kira 100 anggota keselamatan Thailand mengepung sebuah rumah di kampung berkenaan sejak 3 pagi tadi (waktu tempatan).

“Ketujuh-tujuh lelaki dalam rumah berkenaan dipercayai anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK). Apabila mereka menyedari kehadiran anggota keselamatan, berlaku tembak-menembak,” kata Ketua Renjer ke-41 Yala, Kol Sitisak Jenbanjong.

Lima lelaki menyerah diri selepas kejadian tembak-menembak pertama kira-kira 20 minit dan disusuli kejadian tembak-menembak kali ke-2 selama 15 minit antara pasukan keselamatan dengan 2 lelaki bersenjata.

Kedua-dua lelaki yang enggan menyerah diri itu menggunakan senjata M-16 dan Ak-47 dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Thailand.

Menurut Sitisak, mayat kedua-dua lelaki bersenjata yang dikenali sebagai Hatim Tolaema, 29, dan Kariman Matlee, 32, dari Kampung Balo, daerah Balo ditemui selepas insiden tembak-menembak itu.

Katanya, 3 laras senjata M-16 dan Ak-47 serta pistol 9mm turut ditemui berdekatan mayat lelaki berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa Thailand sedang menyiasat latar belakang 5 lelaki yang menyerah diri itu serta 2 yang terbunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.