Pasar rempah Khari Baoli di New Delhi tak pernah suram

Pasar rempah Khari Baoli di New Delhi tak pernah suram

jangan terkejut jika dijeling tajam atau dilayan buruk di pasar itu sekiranya anda tidak berniat untuk membeli apa-apa tetapi sekadar melihat sahaja.

Peniaga di pasar rempah-ratus di daerah bersejarah Delhi sentiasa sibuk sehingga mereka tidak mempunyai masa untuk bertegur sapa sesama mereka.

Mereka juga tidak ada masa untuk melayan orang yang sengaja masuk ke kedai untuk setakat melihat apa yang dijual dan orang-orang seperti itu pastinya akan menerima jelingan tajam.

Bagi peniaga juga pemborong di pasar Khari Baoli yang terletak berhampiran Masjid Fatehpuri, salah sebuah masjid tertua di Delhi, masa adalah wang.

Anda boleh melihat mereka berurus niaga dengan pekedai runcit, mengambil tempahan menerusi telefon, bercakap dengan pembekal serta membincangkan soal bayaran sementara mata meliar melihat orang yang lalu lalang di depan kedai.

Mereka ini cekap untuk menilai siapa yang berpotensi menjadi pelanggan dan dengan hanya satu soalan, mereka boleh menentukan sama ada anda boleh menjadi pelanggannya.

“Berapa banyak mahu beli? “ anda mungkin disoal sekiranya anda bertanya berkenaan rempah, herba, kekacang, buahan kering atau mana-mana barang yang dipamerkan.

Kebanyakan pekedai di pasar rempah ini bersedia menjual kepada pelanggan runcit tetapi ada yang hanya mahu menjual secara pukal.

Saya cuba membeli 2 kilogram bunga cengkih daripada seorang pekedai, dan bagi saya kuantiti itu sudah cukup banyak untuk pembeli perseorangan tetapi dia enggan melayan permintaan saya. Di satu kedai lain seorang pekedai dengan gembira membungkus 250 gram badam yang saya minta.

Sememangnya pasar Khari Baoli ini amat sibuk dan terletak pula berhampiran kawasan membeli belah Chandni Chowk

Kawasan pasar juga sibuk dengan pelancong asing yang pasti akan singgah ke kawasan berkenaan selepas berkunjung ke pusat tarikan pelancong tugu Mughal “Red Fort” yang berusia berabad lamanya.

Di Khari Baoli, anda akan melihat begitu ramai pembeli rempah tempatan, pemborong pukal dan kuli yang memunggah guni rempah ke dalam kereta sorong atau mengangkutnya di atas kepala sambil berjalan pantas di kawasan yang sentiasa sibuk.

Bagi peniaga, tumpuan hanya untuk mencari wang, justeru mereka tidak langsung mengendahkan suasana hingar bingar di keliling mereka.

Dengan begitu banyak rempah ratus keluaran tempatan dan import di samping herba, dan bahan penambah rasa serta acar, pasar ini menawarkan pengalaman membeli-belah yang amat menarik.

Kepelbagaian sektor pertanian India boleh dilihat di pasar ini, sebagai contoh daun teh dari kawasan timur laut, lada hitam, buah pelaga, bunga cengkih dan kulit kayu manis dari selatan sementara kacang walnut dan safron dari Kashmior.

Pasar rempah-ratus Khari Baoli ini antara hab rempah-ratus terkemuka di dunia.

Untuk pembeli tempatan, kawasan berkenaan menawarkan pelbagai pilihan tetapi pelancong perlu berhati-hati mengenai apa yang mereka mahu beli dan bawa pulang.

Menghidu sesetengah rempah boleh menjadikan seseorang itu batuk dan bersin. Lebih elok menjauhkan diri dari guni yang mengandungi lada benggala dan kunyit.

“Heeng” (juga dieja sebagai “hing”), atau “asafoetida” adalah salah satu ramuan yang elok tidak disimpan di dalam beg pakaian. Ia biasa digunakan dalam masakan India tetapi mengeluarkan bau yang kuat sehinggakan ada yang menggelarkannya sebagai “najis syaitan”!

Beberapa gram heeng sudah mencukupi untuk mencemarkan seluruh kabin pesawat. Bagaimanapun, ia mempunyai khasiat perubatan dan pakar tukang masak menggunakannya untuk menaikan rasa masakan.

Jika ada yang ingin bertanya mengenai perdagangan serta pelbagai jenis rempah-ratus, seelok-eloknya hadkan pertanyaan anda kepada apa yang mahu dibeli dan berapa banyak mahu dibeli.

Sebaik sahaja selesai urusan pembelian, tumpuan pekedai sudah beralih kepada pelanggan yang seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.