Kereta nasional ke-3 tak pinggir pengangkutan awam, kata menteri

Kereta nasional ke-3 tak pinggir pengangkutan awam, kata menteri

Darell Leiking berkata projek kereta nasional ke-3 ini tidak bercanggah dengan idea melaksanakan sistem pengangkutan awam yang efisien terutama di ibu kota.

Free Malaysia Today
Kerajaan juga akan meneliti cadangan membawa pembangunan projek kereta nasional ke-3 ke Kelantan, Terengganu serta Sabah dan Sarawak.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak akan meminggirkan pembangunan projek pengangkutan awam walaupun terdapat cadangan untuk melaksanakan projek kereta nasional ke-3, kata menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Darell Leiking berkata, usaha melaksanakan projek kereta nasional ke-3 ini tidak bercanggah dengan idea untuk melaksanakan sistem pengangkutan awam yang efisien terutamanya di ibu kota.

“Saya rasa semua negara bergerak ke arah pengangkutan awam yang lebih efektif, pembinaan kereta nasional ke-3 ini tidak bercanggah dengan idea untuk melaksanakan sistem pengangkutan awam yang efisien.

“Di Kuala Lumpur ini kita juga sering tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, idea menggunakan pengangkutan awam itu baik tetapi kita tidak akan ‘bunuh’ industri automatif,” katanya sewaktu sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Darell berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) yang mempersoalkan adakah keputusan kerajaan melaksanakan projek kereta nasional ke-3 akan bercanggah dengan galakan yang dibuat kerajaan untuk rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Darell berkata pihaknya juga akan meneliti cadangan membawa pembangunan projek kereta nasional ke-3 ke Kelantan dan Terengganu serta berhasrat untuk membawa ke Sabah dan Sarawak.

“Saya juga mahu bawa projek industri ini ke Sabah dan Sarawak. Saya akan teliti cadangan yang ada dan akan bawa ke peringkat Kabinet, kementerian dan jabatan berkaitan. Saya akan galakkan supaya industri ini akan dibawa ke pantai timur, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Cadangan membawa pembangunan projek kereta nasional ke-3 dibuat Ahmad Amzad Hashim (PAS-Kuala Terengganu) yang meminta supaya projek itu dibawa ke pantai timur memandangkan Kelantan dan Terengganu ketinggalan dari pembangunan industri.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi jaminan projek kereta nasional ke-3 akan menggunakan dana swasta sepenuhnya.

Lim berkata perkara itu diberitahu sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepadanya.

Dr Mahathir meninjau untuk membina kereta nasional ke-3 selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan, sebaik jawapan kepada tindakan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd membeli 49.9% saham dalam projek pertama itu.

Proton dibayangkan Dr Mahathir dan diasaskan pada 1983. DRB-Hicom mengumumkan penjualan 49.9% saham Proton pada Mei 2017. Urus niaga itu juga membolehkan Geely memiliki 51% kepentingan dalam pembuat kereta British, Lotus.

Projek kereta nasional ke-2, Perodua, diasaskan pada 1992, mempunyai syarikat-syarikat Jepun sebagai pemegang sahamnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.