Transgender boleh guna tandas OKU, kata Fuziah

Transgender boleh guna tandas OKU, kata Fuziah

Timbalan menteri berkata penggunaan tandas OKU langkah sementara sehingga masyarakat boleh menerima mereka.

KUALA LUMPUR:
Golongan transgender di tempat awam disaran menggunakan tandas khas orang kurang upaya (OKU) sebagai langkah sementara sehingga masyarakat boleh menerima mereka.
Free Malaysia Today
Fuziah Salleh.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, “penyelesaian terbaik” itu mengambil kira perasaan tidak selamat dan tidak selesa golongan perempuan apabila transgender memasuki tandas wanita, dan perasaan transgender apabila menggunakan tandas lelaki.

“Kita semua perlu menggunakan tandas, itu lumrah. Jadi pada saya itu penyelesaian terbaik buat masa ini sehingga masyarakat boleh terima,” katanya pada sidang media di ruang legar Parlimen hari ini.

Minggu lalu, Menteri di JPM Datuk Mujahid Yusof Rawa menyeru masyarakat untuk tidak mendiksriminasikan golongan transgender, selepas pertemuannya bersama aktivis Nisya Ayub.

Mujahid hari ini menarik balik kenyataan kepada pemberita minggu lepas dan berkata dia tidak mengarahkan atau memberi keizinan kepada transgender menggunakan tandas wanita, selepas laporan berita mengundang kritikan orang ramai.

Fuziah hari ini berkata saranan itu bukan bererti kerajaan mengiktiraf golongan tersebut.

“Kita hanya nak bawa mereka kembali kepada fitrah akan tetapi dalam proses tersebut ia akan mengambil masa,” katanya.

Isu transgender: Mujahid mohon maaf

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.