
Persidangan itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, kerajaan negeri Melaka, Persatuan Antarabangsa Zheng He (Malaysia), Tabung Amanah Multibudaya Cheng Ho, Institut Penyelidikan Zheng He, China dan Persatuan Antarabangsa Zheng He (Singapura).
Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, pencapaian Cheng Ho perlu diketengahkan kerana beliau berjaya memperluaskan sebuah empayar perdagangan tanpa peperangan dan penjajahan.
Beliau berkata, Cheng Ho merupakan simbol keamanan dan persahabatan di banyak tempat yang dilawatinya.
“Saya berharap persidangan ni akan membuka mata manusia di seluruh dunia tentang pengembaraan Cheng Ho pada abad ke-15 yang membuka jalan kepada perdagangan sutera yang mendekatkan negara China dengan negara perdagangan lain,” katanya kepada pemberita semalam.
Tan berkata, berbeza daripada pengembara Eropah yang menjajah negara dilawati dengan kejam, Cheng Ho sebaliknya tiba dengan misi keamanan dan perdagangan.
“Ini bakal menjadi persidangan kedua dan melibatkan lebih 600 peserta dari seluruh dunia, termasuk pakar dan ahli akademik dari Singapura, AS dan Brazil dijangka menghadiri persidangan dengan tema ‘Semangat Multi-budaya Cheng Ho dan Kemananan Dunia’,” katanya.