Kerajaan tangguh hapuskan tol kerana pampasan lebih RM400 bilion

Kerajaan tangguh hapuskan tol kerana pampasan lebih RM400 bilion

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata langkah itu ditangguhkan sehingga kewangan negara mengizinkan, selain meneliti langkah lain untuk menurunkan kos sara hidup.

Free Malaysia Today
Baru Bian berkata kerajaan meneliti dan mengambil kira secara mendalam beberapa faktor dan implikasi yang mungkin akan timbul akibat penghapusan tol. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menangguhkan langkah menghapuskan tol lebuh raya memandangkan keputusan itu menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan melebihi RM400 bilion.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata langkah menghapuskan tol akan ditangguhkan sehingga keadaan kewangan negara mengizinkan, namun berjanji akan meneliti langkah-langkah lain untuk menurunkan kos sara hidup.

“Kerajaan sentiasa berusaha sebaik mungkin bagi memenuhi janji yang ada dalam buku PH, termasuk cadangan menghapuskan tol di lebuh raya. Namun kita akui ia bukan mudah untuk dilaksanakan khususnya akibat tekanan kewangan semasa dihadapi kerajaan.

“Untuk makluman, kerajaan teliti dan ambil kira secara mendalam beberapa faktor dan implikasi yang mungkin akan timbul akibat penghapusan tol di negara ini. Anggaran pampasan tol jika cadangan ini dilaksanakan adalah melebihi RM400 bilion.

“Sehubungan itu, kerajaan setelah mempertimbangkan faktor berkenaan, maka kerajaan setuju untuk tangguhkan hingga keadaan kewangan mengizinkan,” katanya sewaktu sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan Baru itu disanggah Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang menyifatkan kerajaan PH tidak bersungguh-sungguh melunaskan janji yang dibuat sewaktu pilihan raya umum lalu.

“Rakyat menunggu janji yang dibuat, kalau tidak ikut, sekurang-kurangnya jelaskan berapa banyak perbincangan yang sudah dibuat untuk langkah menghapuskan tol, bukannya teliti dan kaji sahaja.

“Jadi, selain tidak boleh melaksanakan, adakah PH akan lakukan pindaan dalam manifesto dengan menarik balik janji beri 100% hapuskan tol.

Bagaimanapun, Baru menjelaskan langkah menghapuskan tol ini bukanlah janji yang dibuat untuk 100 hari pentadbiran kerajaan PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.