
Lawyers for Liberty (LFL) berkata, “jenayah” terhadap Masarayu berlaku di Malaysia, justeru apa-apa penyiasatan dan pendakwaan hendaklah dilakukan melalui sistem kehakiman jenayah negara.
“Kita ada bidang kuasa itu dan tidak boleh menolak masalah tersebut kepada Thailand,” kata pengarah eksekutif LFL Latheefa Koya.
“Sebagai saksi utama pendakwaan kenapakah budak ini tiba-tiba dibawa keluar ke Thailand? Tidakkah ini mengganggu penyiasatan yang sedang berjalan dan kemungkinan pendakwaannya?
“Pastilah pihak berkuasa di sini mempunyai cukup sumber dan kemampuan untuk melindungi dan menasihati mangsa, sewaktu undang-undang jenayah dilaksanakan ke atas saspek.”
Dilaporkan minggu lepas Masaryu, yang berkahwin dengan seorang peniaga getah berumur 41 tahun, Che Abdul Karim Che Abdul Hamid pada Jun lepas, dibawa balik ke negara kelahiran beliau, Thailand.
Gabenor wilayah Narathiwat, Suraporn Prommool berkata, budak itu kini menjalani kaunseling kesihatan mental berikutan tekanan perhatian melampau dihadapi beliau berikutan perkahwinannya itu.
Latheefa berkata, penghantaran pulang Masarayu sangat mengejutkan kerana Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail yang juga merupakan menteri wanita, keluarga dan pembangunan komuniti telah berulang kali berjanji bahawa penyiasatan polis sedang dilakukan.
“Malah berita penghantaran pulang budak itu tidak dikeluarkan oleh beliau atau kementeriannya, tetapi sebaliknya oleh gabenor wilayah Thailand, tempat di mana dia tinggal sekarang,” katanya.
Peguam PKR itu juga berkata, walaupun kenyataan Wan Azizah menyebut siasatan polis akan diiapkan segera bagi membolehkan pendakwaan dibuat, tetapi tiada tindakan diambil terhadap Che Abdul.
“Berdasarkan pengakuannya sendiri, termasuk minatnya kepada budak itu sewaktu dia berumur 7 tahun lagi, ‘suami’ pedofilia itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Seksual 2017 kerana pengantunan kanak-kanak.
“Ia kes jelas, tetapi beliau masih bebas tanpa hukuman, malah ditemu bual oleh media seperti seorang selebriti.
“Dia adalah ancaman bukan sahaja kepada kanak-kanak ini, tetapi juga kanak-kanak daripada keluarga miskin lain. Kegagalan mengambil langkah tegas merupakan isyarat kepada bakal pedofilia lain bahawa mereka bebas beroperasi di Malaysia.”
Julai lepas, Che Abdul dijatuhi hukuman denda RM1,800 oleh Mahkamah Syariah Gua Musang selepas mengaku bersalah mengahwini kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran daripada mahkamah dan mengamalkan poligami tanpa izin isteri.
Suraporn berkata walaupun perkahwinan itu tidak diiktiraf di bawah undang-undang sivil Thailand, ia dilakukan di bawah Majlis Agama Islam Narathiwat dan ibu-bapa budak itu juga memberi kebenaran.
“Kita tidak boleh berbuat apa-apa (bagi membatalkan perkahwinan), kerana mereka berkahwin di bawah undang-undang agama,” katanya.
Bagaimanapun, peniaga itu boleh dipenjarakan selama 6 bulan sekiranya didapati beliau tidak mendapat kebenaran di Malaysia.
Di bawah undang-undang sivil sedia ada, umur minimum perkahwinan ialah 18 tahun, sementara Mahkamah Syariah diberi kuasa membenarkan perkahwinan pada umur 16 tahun atau lebih rendah.