
“Kami sudah dengar suara orang ramai dan kami bersetuju parti memerlukan pembaharuan dalaman.
“Keputusan menggunakan logo MCA ialah sebahagian daripada banyak pembaharuan yang akan berlaku dalam masa terdekat.
“Kami perlu memfokuskan pembaharuan dalaman sebelum boleh bercakap mengenai pakatan BN,” kata Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin tertinggi parti hari ini.
Kerusi majoriti pengundi Cina di bawah Parlimen Bangi itu kosong selepas Adunnya, Ng Tien Chee maut dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.
Pada PRU14 lalu, calon MCA, Lim Chin Wah hanya mendapat 10.9% atau 5,874 undi, manakala calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali meraih 11.6% undi. Mereka kalah kepada Ng yang mendapat 41,768 undi.
Liow berkata, MCA perlu menilai semula “bebanannya”.
“Kami perlu menyelaras semula peranan politik sendiri dan membuang bebanan sejarah kami. Menggunakan logo sendiri ialah permulaan menentukan arah tuju baru parti.”
MCA hanya memenangi sebuah kerusi Parlimen pada PRU14 melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam, Johor.
Liow berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya sudah meluluskan keputusan menggunakan logo MCA, tetapi ini tidak bermakna parti itu akan meninggalkan BN.
“Kami sudah menjadi sebahagian daripada BN selama 69 tahun. Kami tidak akan meninggalkan sesiapa, lagipun kami ialah pengasas BN.
“BN memainkan peranannya pada masa lalu. Kini ialah masa kami memulakan perjalanan sendiri.”
Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun diumumkan sebagai pengarah PRK Balakong.
Hari penamaan calon PRK Balakong ditetapkan pada 18 Ogos ini dan hari mengundi pada 8 September nanti.