
Hakim, Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu terhadap Dr Ting Teck Chin, 38, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.
“Terdapat percanggahan keterangan antara pakar bius dan pakar autopsi dari segi punca kematian si mati. Pakar bius mengatakan berlaku serangan jantung berikutan penggunaan lebihan bius, manakala pakar autopsi berpendapat kematian itu disebabkan alahan ubat bius.
“Bagaimanapun keterangan pakar bius mengatakan ada kemungkinan si mati meninggal dunia akibat alahan ubat bius, walaupun ia sangat jarang berlaku, namun kemungkinan itu tetap ada. Oleh demikian, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” kata hakim itu.
Dalam pada itu, beliau berkata, mangsa yang juga menantu bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, diberikan ubat tahan sakit, iaitu ponstan serta 2 jenis ubat oleh jururawat bertugas dan Dr Arlena Philips Lee yang juga doktor gigi, memberikan tidak kurang daripada 3 ubat melalui suntikan.
“Prosedur mencabut gigi tidak dihentikan, walaupun keadaan pesakit menunjukkan kesakitan dan tanda-tanda komplikasi,” katanya.
Pada 12 Ogos 2016, Dr Ting yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, dengan mengetahui perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.
Dr Ting yang bertugas di Jabatan O&G Hospital Kuala Lumpur (HKL), didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Syed Alman Zain yang merupakan suami kepada anak sulung Zahid, Datuk Nurulhidayah, 41, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar manakala Dr Ting diwakili peguam Datuk K Kumaraendran, K Dev dan Teh See Khoon.
Ditanya adakah pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini, Shukor berkata, pihaknya akan meneliti sebelum membuat sebarang keputusan sama ada ingin merayu atau tidak.
Dr Ting yang ditemui di luar mahkamah menyuarakan kelegaan dan bersyukur dengan keputusan mahkamah serta berharap dapat meneruskan kariernya sebagai doktor O&G di HKL.
Seramai 25 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan yang bermula awal tahun lepas.