Air Selangor nafi beri keistimewaan kepada SPLASH

Air Selangor nafi beri keistimewaan kepada SPLASH

Ketua pegawai eksekutif Air Selangor berkata, diskaun dalam pengambilalihan SPLASH lebih tinggi berbanding diskaun digunakan dalam pengambilalihan Puncak Niaga Sdn Bhd pada 2015.

Free Malaysia Today
Suhaimi Kamaralzaman berkata, Air Selangor membayar harga bersamaan 0.86 kali nilai buku bersih Puncak Niaga, iaitu diskaun 14% berbanding potongan 28% atau 0.72 kali nilai buku bersih SPLASH. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menafikan dakwaan ia memberi keistimewaan kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) semasa menawarkan nilai pengambilalihan syarikat itu dengan nilai RM2.55 bilion pada 3 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, sebaliknya diskaun yang digunakan untuk pengambilalihan SPLASH lebih tinggi jika dibandingkan diskaun digunakan dalam pengambilalihan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) yang dimiliki Puncak Niaga Holdings Berhad pada 2015.

“Di dalam transaksi PNSB, Air Selangor membayar harga bersamaan 0.86 kali nilai buku bersih, iaitu diskaun sebanyak 14% ke atas nilai buku bersih aset konsesi air PNSB, di dalam transaksi itu, Air Selangor tidak mengambilalih aset bukan konsesi air yang dimiliki PNSB.

“Di dalam transaksi SPLASH pula, nilai tawaran Air Selangor bersamaan 0.72 kali nilai buku bersih syarikat berkenaan, iaitu diskaun sebanyak 28% ke atas nilai buku bersihnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu untuk menjawab dakwaan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengatakan pengambilalihan SPLASH membuatkan rakyat Selangor perlu membayar lebih 10 kali ganda daripada apa yang ditawarkan kerajaan negeri pada 2013.

Khalid turut menjangkakan keadaan itu memungkinkan kerajaan negeri mengkaji atau menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di Selangor yang dilaksanakan sejak 2008.

Suhaimi berkata, pengambilalihan SPLASH dilaksana berdasarkan prinsip “willing buyer, willing seller” yang memerlukan penjual dan pembeli bersetuju terlebih dahulu sebelum pengambilalihan dimuktamadkan.

“Dalam tempoh 5 tahun ini, pemegang saham SPLASH telah menolak cadangan untuk menjual pada harga RM250 juta memandangkan diskaun begitu besar ke atas nilai buku bersihnya,” katanya.

Menurut Suhaimi, berdasarkan apa yang disahkan 3 badan bebas dilantik kerajaan negeri dan persekutuan, nilai buku bersih SPLASH berada pada paras RM2.7 bilion hingga RM3.2 bilion.

“RHB Investment Bank yang dilantik kerajaan Selangor menilaikan SPLASH antara RM2.5 bilion berdasarkan kaedah nilai buku bersih setakat 31 Mac 2015 dan RM3.2 bilion berdasarkan kaedah penilaian pendapatan masa depan yang didiskaun.

“Firma audit antarabangsa Deloitte yang dilantik kerajaan persekutuan pada 2017 mengesahkan nilai pengambilalihan SPLASH sebanyak RM2.7 bilion adalah munasabah dan saksama dan berdasarkan kenyataan kewangan yang diaudit Ernst & Young, nilai buku bersih SPLASH pada 31 Mac 2017 ialah RM2.8 bilion.”

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata proses pengambilalihan SPLASH yang lama tertangguh selesai selepas syarikat konsesi itu secara prinsip bersetuju menerima nilai tawaran Air Selangor berjumlah RM2.55 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.