Selangor tidak bayar 10 kali ganda ambil alih SPLASH, kata menteri

Selangor tidak bayar 10 kali ganda ambil alih SPLASH, kata menteri

Pengambilalihan dibuat selepas kajian oleh 2 institusi kewangan, iaitu RHB dan Deloitte.

Free Malaysia Today
Xavier berkata pengambilalihan itu juga dibuat mengikut harga pasaran sebenar.
KUALA LUMPUR:
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar menafikan kerajaan Selangor membayar lebih 10 kali ganda untuk pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) seperti didakwa bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Tak ada (10 kali ganda). Pengambilalihan itu dibuat selepas kajian oleh RHB dan Deloitte,” katanya.

Khalid dalam kenyataan 5 November 2016 merasakan tawaran terakhir yang berpatutan kepada SPLASH adalah sebanyak RM250.6 juta bagi bayaran ekuiti dan untuk tujuan menanggung hutang sebanyak RM1.564 bilion.

“RHB oleh negeri dan Air Selangor sementara Deloitte oleh kerajaan pusat ketika di bawah kerajaan Barisan Nasional dulu dan kita buat kajian nilai,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata syarikat air milik Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membayar RM2.55 bilion untuk mengambil alih SPLASH.

Berikutan itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri membayar lebih 10 kali ganda untuk pengambilalihan tersebut berbanding nilai tawaran pengambilalihan ketika pentadbiran beliau pada 2013.

Beliau mendakwa, langkah itu bakal memberi peluang kepada pemilik saham SPLASH mendapat keuntungan serta pampasan berlebihan dan pada masa sama meletakkan beban serta tanggungjawab pembayaran tersebut ke atas rakyat yang akan dikenakan tarif tinggi.

Mengulas lanjut, Xavier berkata pengambilalihan itu juga dibuat mengikut harga pasaran sebenar.

“Kalau harga pasaran dekat RM3.4 bilion macam mana tu,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu menambah, Khalid boleh menyemak dengan RHB dan Deloitte yang membuat penilaian berkenaan.

“Macam mana anda nak lawan firma antarabangsa seperti Deloitte yang menjalankan kajian nilai untuk (pengambilalihan) SPLASH.

“Kalau anda ada kajian yang lain daripada itu tunjukkanlah,” katanya.

Pengambilan Splash bawah nilai pasaran, kata MB

Ambil alih SPLASH: Selangor mungkin henti beri air percuma

Azmin: Rundingan ambil alih syarikat air Splash masih dijalankan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.