
Timbalan Pengerusi PSM M Sarasvathy berkata, 5 syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital yang menerima kontrak di bawah kerajaan sejak 2015 menggunakan kontrak luar yang diberikan kepada syarikat persendirian (sub-kontrak) untuk tempoh 2 tahun.
“Ini menyebabkan syarikat sub-kontrak tersebut menawarkan kontrak perkhidmatan bagi satu tempoh masa 6 bulan, 1 tahun dan 2 tahun kepada pekerja-pekerja pembersihan.
“Pekerjaan pembersihan ini pada realitinya merupakan satu pekerjaan tetap, tetapi pihak syarikat konsesi menjadikan pekerjaan itu sebagai pekerjaan bermusim ataupun pekerja bagi satu tempoh masa tertentu.
“Pihak sub-kontraktor mengambil pekerja-pekerja ini dengan tawaran pekerjaan selama 6 bulan hingga 2 tahun,” katanya pada sidang media di ibu pejabatnya hari ini.
Sarasvathy berkata, kini semua pekerja “tukang cuci” tersebut dinafikan hak yang sepatutnya diterima sebagai pekerja tempatan, walaupun sudah bekerja selama 20 tahun.
“Akibat penukaran majikan setiap 2 hingga 3 tahun, mereka dinafikan hak dari segi cuti sakit, cuti tahunan, bonus tahunan, pampasan penamatan kerja dan juga ketetapan untuk mendapatkan pinjaman perumahan dan sebagainya.
“Sekyen 11 Akta Pekerjaan 1955 membenarkan suatu kontrak untuk satu tempoh masa tertentu tetapi ianya hanya digunapakai untuk pekerjaan bermusim yang bersifatkan sementara,” katanya.
Katanya, PSM menuntut supaya kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dan semua syarikat GLC dan GLIC ini mengambil tindakan segera terhadap sistem kontrak yang secara jelas menindas hak pekerja.
Sebelum ini, kira-kira 120 pekerja pembersihan di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur melancarkan mogok disebabkan kontraktor pembersihan yang dilantik tidak membayar gaji.