KWSP, Grab meterai MoU I-Saraan untuk pemandu

KWSP, Grab meterai MoU I-Saraan untuk pemandu

Pemandu Grab akan menikmati faedah seperti anggota KWSP seperti dividen tahunan, pelepasan cukai, faedah kematian dan akses kepada perkhidmatan nasihat persaraan tanpa sebarang kos.

Free Malaysia Today
i-Saraan sebelum ini dikenali sebagai Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat perkhidmatan perjalanan e-panggilan, Grab Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan pemandu Grab menyertai program Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) kelolaan KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata pemandu e-panggilan yang menyertai program itu akan diperuntukkan dengan opsyen simpanan yang terjamin memandangkan KWSP mempunyai rekod prestasi pulangan yang mampan dan melebihi inflasi, yang sudah terbukti, ini akan meningkatkan nilai simpanan mereka untuk tempoh jangka panjang.

“Dengan menyumbang kepada skim itu, pemandu yang menjadi rakan perkongsian Grab boleh menikmati faedah yang sama sebagai anggota KWSP, seperti dividen tahunan, pelepasan cukai, faedah kematian dan akses kepada perkhidmatan nasihat persaraan kami tanpa sebarang kos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain manfaat serta dividen tahunan, kerajaan akan menyumbang sebanyak 15% dengan jumlah maksimum RM150 setahun ke atas caruman tahunan sehingga 2022 bagi anggota di bawah usia 55.

Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, menerusi kerjasama dengan KWSP, syarikat itu menyokong inisiatif kerajaan bagi mewujudkan sebuah ekosistem perlindungan sosial yang lebih holistik, bermula dengan memastikan kesejahteraan persaraan ke atas pemandu Grab.

“Malah, berdasarkan kaji selidik dengan para pemandu kami, 75% daripada mereka sudah menyatakan kesanggupan untuk menabung bagi persaraan mereka khususnya melalui usaha sama ini.

“Kita mahu menggalakkan mereka untuk menentukan serta mengemudikan jaminan kewangan masa depan mereka sendiri,” katanya.

i-Saraan, sebelum ini dikenali sebagai Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia direka bagi membenarkan individu yang bekerja sendiri atau sesiapa sahaja yang menerima pendapatan bulanan yang tidak tetap, seperti pemandu teksi, peniaga kecil, petani, peniaga kecil-kecilan dan pekerja bebas, menabung untuk persaraan mereka sambil menikmati faedah yang sama sebagai anggota KWSP.

Berkuatkuasa 16 Ogos 2018, Grab juga akan menyumbang 5% kepada jumlah yang disumbangkan oleh rakan pemandunya yang terpilih, tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM80 setahun, selain daripada insentif yang kerajaan peruntukkan.

Menurut statistik daripada Institut Maklumat dan Analisa Pasaran Buruh (ILMIA), daripada 22 juta penduduk Malaysia yang bekerja, hanya 7.1 juta menyumbang secara aktif kepada KWSP dan 1.7 juta dilindungi oleh skim pencen awam.

Baki 13.2 juta merangkumi individu-individu yang bekerja sendiri atau pekerja bebas dan di luar tenaga buruh yang tidak dilindungi oleh apa-apa program perlindungan sosial dalam negara yang rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.