
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau mahu dakwaan Lim Guan Eng itu “disiasat dan disahkan”, kerana jika tidak ia akan kekal sebagai berita sensasi tanpa bukti yang menyokong.
Beliau berkata, ucapan menteri terbabit di Parlimen tentang kehilangan wang bayaran balik cukai atau cukai input itu tidak disokong oleh apa-apa maklumat terperinci tentang tuntutan tidak berbayar tersebut.
“Saya fikir inkuri dalaman oleh Kementerian Kewangan tidak lagi memadai setelah dakwaan penggelapan dana yang begitu serius dibuat.
“Oleh sebab menteri tidak menunjukkan minat untuk menyiasatnya selain melalui inkuiri dalaman, maka saya mengambil langkah ini atas kepentingan awam,” katanya menerusi aplikasi Twitter.
Semalam Lim memberitahu Dewan Rakyat kira-kira RM18 bilion wang cukai input yang sepatutnya dibayar balik kepada syarikat perniagaan sejak cukai GST diperkenalkan pada 2015, didapati hilang.
Beliau berkata sebanyak RM19.4 bilion wang tidak dikembalikan kepada syarikat perniagaan kerana kerajaan Barisan Nasional sebelum ini menggelapkan dana tersebut.
Dana itu sepatutnya dimasukkan ke dalam sebuah akaun amanah, tetapi sebaliknya ditempatkan dalam akaun wang disatukan dan dibelanjakan, katanya.
Hanya kira-kira RM1.5 bilion masih berada dalam akaun itu, katanya ketika sesi bacaan kali kedua rang undang-undang pemasuhan GST.
Lim enggan memberi komen apabila ditanya semalam sama ada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terlibat dengan “kecurian” dana itu.
“Najib kini menghadapi banyak tuduhan, jadi saya tidak mahu komen tentang perkara ini sehingga siasatan selesai,” katanya di lobi Parlimen.
Lim juga mendakwa bekas ketua setiausaha Perbendaharaan mungkin tahu tentang kurangan dalam akaun amanah bayaran balik GST itu.