AG pertahan pelantikan peguam bekas firmanya ke dalam pasukan 1MDB

AG pertahan pelantikan peguam bekas firmanya ke dalam pasukan 1MDB

Tommy Thomas berkata tidak berlaku konflik kepentingan dalam pelantikan Sitpah Selvaratnam kerana beliau individu terbaik untuk tugas itu.

Free Malaysia Today
Peguam Sitpah Selvaratnam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peguam Negara, Tommy Thomas mempertahankan pelantikan seorang konsultan dari bekas firma diketuai beliau untuk mengetuai pasukan peguam mewakili 1MDB dan Putrajaya dalam tuntutannya ke atas kapal pesiaran mewah Equanimity yang menjadi fokus penyiasatan Amerika Syarikat ke atas syarikat pelaburan negara.

Dalam kenyataan semalam, Tommy berkata asas paling berkesan untuk melaksanakan bidang kuasa mahkamah ke atas kapal tersebut yang memasuki perairan negara Selasa lepas ialah undang-undang admiraliti atau undang-undang perkapalan.

Beliau berkata, sebagai penyandang jawatan pengerusi Jawatankuasa Perkapalan dan Admiraliti Majlis Peguam dan presiden pengasas Persatuan Undang-undang Maritim Antarabangsa Malaysia, Sitpah Selvaratnam merupakan pilihan terbaik untuk menasihati Pejabat Peguam Negara dalam perkara tersebut.

“Sitpah diiktiraf sebagai pakar admiraliti Majlis Peguam dalam isu berkaitan litigasi dan terlibat dalam banyak kes penahanan kapal dan vesel di mahkamah kita, selain kes pembantahan penahanan dalam kerjaya guaman khusus beliau selama lebih 25 tahun,” katanya, dan menambah bahawa pengalaman sedemikian adalah perlu dalam penyampaian waran penahanan kepada syerif kapal tersebut.

Pelantikan Sitpah ke dalam pasukan itu menimbulkan tanda tanya selepas didedahkan beliau merupakan konsultan di firma Tommy Thomas Advocates & Solicitors.

Pengerusi sekretariat peguam muda Pemuda Umno Nik Saiful Adli Burhan menyuarakan kebimbangan bahawa pelantikan itu boleh menyebabkan berlakunya konflik kepentingan.

Bagaimanapun Tommy berkata perlu diingat bahawa prosiding guaman itu diambil untuk kepentingan Malaysia.

“Justeru, kita berhak memanfaatkan peguam perkapalan Malaysia yang terbaik.

“Tidak timbul isu konflik kepentingan kerana kita berada di pihak yang sama. Tidaklah munasabah sekiranya Malaysia dinafikan khidmat Sitpah semata-mata kerana saya pernah bertugas di firma di mana beliau merupakan konsultannya selama 8 tahun terakhir ini.”

Beliau berkata, keputusan melantik Sitpah dibuat olehnya sendiri dan beliau mempercayai dan meyakini akan kebolehan dan integriti Sitpah.

“Pejabat Peguam Negara tidak mempunyai unit pakar perkapalan,” katanya.

“Atas sebab itu, saya memutuskan untuk melihat kepada Majlis Peguam dan memilih 3 orang peguam perkapalan terbaik Malaysia, iaitu Sitpah, Jeremy Joseph dan Ong Chee Kwan untuk mewakili pihak penuntut, selain peguam kanan persekutuan, Alice Loke.

Beliau berkata, oleh sebab litigasi itu kompleks dan melibatkan taruhan setinggi RM1 bilion, Joseph dan Ong dari firma guaman Joseph & Partners akan dibayar fi berkadar komersil biasa.

“Sitpah sebaliknya tidak akan dibayar apa-apa fi. khidmatnya kepada kita tidak melibatkan wang pembayar cukai.”

Tommy berkata, baru-baru ini kedua-dua Sitpah dan Joseph menolak tawaran pihak asing supaya mereka mewakilinya dalam perkara itu.

Beliau berkata, ujian kepakaran Sitpah akan dapat dilihat jika dan apabila ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dikaitkan dengan kapal mewah itu atau mana-mana pihak lain memfailkan permohonan untuk mengetepikan waran penahanan yang dikeluarkan sebelum ini.

“Hujah daripada kedua-dua pihak akan didengar oleh mahkamah berdasarkan merit masing-masing dan oleh itu Malaysia memerlukan khidmat peguam terbaik.

“Litigasi adalah dinamik; perkara di luar jangkaan boleh berlaku di mahkamah dan kes Malaysia mesti dikendalikan oleh individu terbaik juga.”

Kapal mewah berharga AS$250 juta itu, Equanimity kini ditahan di terminal Pusat Kapal Persiaran Bousted di Pulau Indah Selasa lepas.

Dipercayai kerajaan Indonesia yang menyita kapal itu sebelum ini atas permintaan pihak berkuasa AS awal tahun ini memutuskan untuk menyerahkannya kepada Malaysia berikutan lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jakarta Jun lepas.

Kapal itu dipercayai merupakan sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB.

Individu dikatakan pemiliknya, Low atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low, kini diburu pihak berkuasa bagi membantu siasatan ke atas 1MDB.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.