Naib canselor, bendahari universiti lulus bayaran RM14.85 juta tanpa kebenaran

Naib canselor, bendahari universiti lulus bayaran RM14.85 juta tanpa kebenaran

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 menyatakan 19 kontrak diluluskan tanpa kebenaran.

PETALING JAYA:
Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 mendapati lembaga pengarah sebuah universiti awam tidak meluluskan bayaran RM14.85 juta untuk kontrak perolehan universiti itu.

Menurut laporan itu, naib canselor dan bendahari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menandatangani 19 kontrak tanpa kebenaran lembaga pengarah universiti itu.

“Pengauditan yang dijalankan antara Jun hingga Ogos tahun lalu menyimpulkan pengurusan hasil UTeM tidak mencapai kecekapan optimum kerana ada penyelewengan dalam peraturan kewangan,” menurut laporan itu sambil menambah universiti itu masih boleh memperbaiki pengurusan kewangannya.

Laporan itu turut mendapati UTeM membayar RM82,348 untuk 2 projek yang tidak dimulakan atau siap sepenuhnya.

“Kami mencadangkan pegawai universiti dari jabatan kewangan dan pemerolehan melakukan pemeriksaan terperinci ke atas kerja itu berdasarkan syarat kontrak.

“Jabatan perundangan perlu diperkukuhkan untuk memberi nasihat mengenai pengurusan dan pentadbiran kontrak.”

Laporan Ketua Audit Negara itu turut mendapati 3 projek di bawah Kementerian Pertahanan dan Jabatan Kerja Raya bernilai RM145.18 juta, merangkumi pembinaan garaj untuk menyimpan kenderaan tentera, tetapi 2 daripada projek itu yang bernilai RM93.70 gagal disiapkan mengikut jadual.

Dua garaj itu terletak di Kem Batu 10 Kuantan dan Kem Sunggala Port Dickson.

“Dua syarikat yang mendapat kontrak itu sepatutnya menyiapkan pembinaan masing-masing dalam 78 minggu dan 72 minggu.

“Walaupun lanjutan masa diberikan kepada syarikat itu, mereka tidak menyiapkan kerja mereka dalam masa ditetapkan.”

Kerajaan mengeluarkan 2 perakuan kerja tidak siap kepada syarikat itu dan mengenakan denda hampir RM17,000 kepada mereka sehari.

“Sehingga Disember 2017, denda yang dikenakan ke atas mereka berjumlah RM4.15 juta,” menurut laporan itu sambil menambah kementerian perlu memastikan klausa di bawah kontrak membenarkan mereka menuntut kos dan kerugian akibat kelewatan menyiapkan kerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.