Tiada F1 dalam 5 tahun, kata bos litar Sepang

Tiada F1 dalam 5 tahun, kata bos litar Sepang

Razlan Razali berkata, keputusan itu susulan kos penganjuran F1 sangat mahal dan keadaan ekonomi negara yang tidak mengizinkan.

Free Malaysia Today
Malaysia mula menganjurkan perlumbaan F1 pada 1999 dan kali terakhir ialah 1 Oktober 2017. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali mengesahkan perlumbaan Formula Satu (F1) tidak akan diadakan di Malaysia dalam tempoh 5 tahun ini.

Katanya, fokus SIC ketika ini adalah menambah baik kemudahan di litar itu serta memberi tumpuan kepada sukan pemotoran.

Beliau berkata, SIC akan mempertimbangkan kemungkinan mengadakan perlumbaan itu selepas 5 tahun.

“Tidak, tidak akan berlaku,” katanya kepada FMT hari ini, yang menghentikan spekulasi berhubung kemungkinan sukan termahal di dunia itu kembali ke Malaysia.

“Kos untuk mengadakan perlumbaan F1 ini sangat mahal dan dengan keadaan ekonomi negara sekarang ini, kita tidak terfikir untuk mengadakan semula acara ini dalam tempoh terdekat.

“Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah memberitahu SIC keputusan Kabinet yang acara itu tidak akan diadakan semula.”

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan perlumbaan F1 yang kali terakhir dihoskan Malaysia tahun lalu, diadakan semula di Sepang.

“Mungkin,” kata perdana menteri berhubung pemasangan lampu limpah di sepanjang SIC sebagai petanda perlumbaan berprestij itu dianjurkan Malaysia semula.

Perlumbaan F1 yang mula diadakan di Malaysia pada 1999, antara legasi ikonik Dr Mahathir sepanjang 22 tahun beliau menerajui negara.

Perlumbaan F1 ‘mungkin’ kembali ke Sepang, kata Dr Mahathir

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.