
Dalam nota perpisahannya kepada kakitangan Khazanah, Azman berkata syarikat dana kerajaan itu melabur sebanyak AS$19 juta bagi pegangan 22% dalam syarikat tersebut.
Beliau berkata, asas pelaburan perlu dilihat dengan teliti, merujuk kepada India sebagai sebuah pasaran dengan satu bilion orang dan separuh daripadanya wanita dan pendapatan di negara itu pula sedang meningkat.
“Zivame masih penting, malah ia baru saja mencatatkan pencapaian suku tahunan terbaik dan kami yakin mendapat pulangan seluruh atau hampir seluruh daripada apa yang telah dilaburkan dalam tempoh terdekat.
“Dalam mana-mana kes penilaian ke atas pelaburan keseluruhan, kami perlu melihatnya dari perspektif bahawa pengambilan risiko di India bagi sektor pengguna, di bawah Projek Bilion, sama ada dalam syarikat menjual cat untuk rumah hinggalah barang kemas, telah menjana lebih daripada RM1 bilion keuntungan terealis atau belum terealis setakat ini,” katanya berikutan peletakan jawatan beliau daripada Khazanah pada 26 Julai lepas.
Beliau berkata, Khazanah mendapat lebih RM6 bilion keuntungan daripada pelaburan dalam syarikat e-dagang atas talian Alibaba.
Berhubung pelaburan dalam UBS melalui syarikat pelaburan Olivant pada 2008, yang menyebabkan kerugian sebanyak RM1.7 bilion, Azman berkata ia bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Beliau berkata, secara keseluruhan Khazanah meraih pulangan bersih sebanyak RM82 bilion dalam tempoh 9 tahun dari 2008 sehingga 2017.
Dari segi pelaburan katanya, keuntungan diperolehi Khazanah mengatasi kerugian dialaminya pada nisbah 5:1.
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Khazanah berjaya menambah asetnya daripada RM33 bilion kepada RM134.5 bilion pada zaman pentadbiran beliau.
Najib berkata, kerugian dalam pelaburan tidak boleh dielakkan.
Khazanah: Dr M lebih bijak daripada ‘penyamun tarbus’, sindir Annuar Musa